Lima penduduk Paya Jaras Hilir, di Sungai Buloh, Selangor - empat lelaki dan seorang perempuan - dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh semalam untuk pemantauan demam selesema burung kerana "didapati mempunyai gejala demam".

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, mereka berusia antara 11 bulan hingga 35 tahun, tinggal dalam lingkungan 300 meter dari kawasan jangkitan virus selesema burung yang di kesan baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, kesemua mereka kini dalam keadaan stabil.

"Mereka telah datang sendiri ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan telah diasingkan kerana didapati mempunyai gejala demam," katanya.

Menurutnya, sehingga jam 6 petang semalam, kakitangan Jabatan Kesihatan Selangor telah melawati 476 rumah dan menemuduga 3,204 penduduk di kampung Paya Jaras Hilir dan Kampung Kubu Gajah Sungai Buloh, demikian menurut laporan Bernama.

"Setakat ini masih tiada kes yang mematuhi definisi jangkitan Avian Influenza di kalangan manusia sama ada yang telah dikesan atau dirujuk ke hospital," katanya.

Dr Chua berkata, 187 petugas yang terlibat dalam gerakan pencegahan, kawalan dan penjagaan kes di wad isolasi, juga telah dipantau dan setakat ini tiada petugas yang mengalami gejala influenza.

Mereka merupakan 110 petugas kesihatan terlibat dalam aktiviti pencegahan dan kawalan, 22 penjagaan dan rawatan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh dan 55 petugas lagi dari Jabatan Perkhidmatan Haiwan.

Rawatan awal

Menurutnya, 530 risalah kesihatan dan kad 'Waspada Kesihatan' telah ditambah pengedarannya untuk memberi nasihat kepada penduduk supaya mendapatkan rawatan awal sekiranya mempunyai gejala influenza.

Sehingga ini, katanya, 889 risalah kesihatan dan kad 'Waspada Kesihatan' telah diedarkan.

Manakala Pusat Kesiapsiangan dan Respon Krisis Bahagian Kawalan Penyakit kementeriannya di Putrajaya dibuka semalam dan telah menerima lima panggilan orang ramai mengadu seperti ternakan ayam jiran berkeliaran, mendapatkan nasihat berkaitan langkah pencegahan yang perlu diambil dan maklumat terkini mengenai jangkitan tersebut.

Operasi pemusnahan unggas, kata Dr Chua, masih lagi dijalankan di kawasan satu kilometer radius meliputi Kampung Paya Jaras Hilir, Kampung Paya Jaras Tengah, Kampung Paya Jaras Dalam dan Kampung Kubu Gajah yang bermula jam 8 malam semalam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk supaya memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau klinik Kesihatan berdekatan sekiranya ada ayam yang mati mengejut.

Selain itu, mereka juga diminta mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berdekatan sekiranya mempunyai gejala demam, batuk, sakit tekak atau sukar bernafas atau mempunyai kontak secara langsung dengan ayam mati dalam masa tujuh hari gejala itu timbul.

Mereka turut disarankan supaya sentiasa mengamalkan tabiat membasuh tangan dengan air yang bersih dan sabun.

"Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah kawalan sewajarnya untuk mengawal dan mencegah berlakunya jangkitan virus Avian Influenza kepada manusia. Sehingga kini, tiada kes avian influenza disahkan berlaku di kalangan manusia," katanya.