Muda turun padang ke Jepak esok, bidas PH tak bertanding
Ketua Penerangan Muda Sarawak Norashikin Baidawi membidas keputusan Pakatan Harapan (PH) tidak bertanding menentang GPS pada pilihan raya kecil (PRK) Jepak yang dijadualkan pada 4 November ini.
Norashikin berkata keputusan itu bukan sahaja tidak adil kepada pengundi Jepak, malah juga bertentangan dengan semangat demokrasi.
"Dikhabarkan bahawa blok pembangkang tidak akan bertanding di atas dasar hormat kepada kerajaan perpaduan dan demi kestabilan politik di peringkat pusat.
"Keputusan ini bersikap tidak adil terhadap pengundi DUN Jepak kerana mereka tidak akan mempunyai pilihan dan peluang untuk mengundi wakil rakyat yang akan membawa suara mereka.
"Politik yang sihat memerlukan sistem semak dan imbang dan hal ini tidak dapat direalisasikan jika hanya satu parti sahaja bertanding ataupun menang tanpa bertanding," kata Norashikin dalam satu kenyataan.
Sehubungan dengan itu, Norashikin berkata Muda Bintulu akan turun turun padang berjumpa dengan penduduk dan mendengar masalah mereka.
"Pimpinan Muda Bintulu juga akan mengadakan walkabout, mengunjungi masyarakat setempat dan banyak lagi, bukan hanya sekitar Jepak tetapi juga di sekitar bandar Bintulu
"Walaupun kini berada di posisi third force, Muda Sarawak sentiasa konsisten dan komited untuk terus berkhidmat kepada masyarakat Sarawak," katanya.
Kenyataan itu mencetuskan spekulasi bahawa Muda akan menamakan calon pada PRK berkenaan esok.
Sebelum ini PH mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRK yang dijadualkan pada 4 Nov.
GPS memilih Iskandar Turkee untuk bertanding di kerusi berkenaan susulan kematian bekas wakil rakyatnya selama enam penggal Talib Zulpilip pada 15 Sept.
Selain Iskandar, Stevenson Joseph Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang dan Chieng Lea Ping dari Parti Aspirasi Rakyat (Aspirasi) juga disebut-sebut sebagai calon.
Pada pilihan raya negeri ke-12 pada 2021, Talib memenangi kerusi DUN Jepak dengan majoriti selesa sebanyak 4,243 undi.
Esok ditetapkan sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal dijadualkan pada 31 Okt.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/e9e5c63d296cae49f746de0516946ba7.jpg)
