Peguam Mah Weng Kwai mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Fiji Membasmi Rasuah selepas dikritik hebat.

Mah, yang juga Presiden Persatuan Peguam Asia Pasifik (Lawasia) berkata, "persepsi sesetengah peguam bahawa pelantikan itu boleh dianggap mencerminkan pendirian politik Lawasia" merupakan sebab beliau meletak jawatan.

"Saya menerima jawatan itu atas kapasiti peribadi dan tidak berunsur politik, tetapi saya perlu menerima bahawa ia mungkin dianggap satu pendirian politik," kata Mah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh urusetia Lawasia.

Mah berkata, beliau memutuskan untuk meletak jawatan selepas berbincang dengan rakan-rakan profesionalnya.

"Lawasia adalah sebuah badan bukan politik yang dianggotai oleh peguam yang menumpukan aktivitinya dalam bidang hak asasi manusia dan tidak pernah terbabit dengan politik.

"Jika pelantikan saya itu boleh menimbulkan kekeliruan mengenai agenda Lawasia, maka tindakan paling mudah diambil ialah menarik balik penerimaan jawatan tersebut, kerana bagi saya peranan dan reputasi Lawasia adalah lebih utama," tambahnya.

Rasuah punca ampasan kuasa

Menurut sumber-sumber, Mah telah memberitahu mesyuarat eksekutif persatuan tersebut Selasa lalu bahawa beliau tidak akan menerima pelantikan di Fiji itu berikutan kritikan yang diterimanya.

Usaha memerangi rasuah di Fiji merupakan agenda utama Perdana Menteri baru negara itu, Voreqe Bainimarama.

Voreqe berkata, dakwaan rasuah yang berleluasa ketika pemerintahan Perdana Menteri Laisenia Qarase merupakan salah satu sebab utama berlakunya rampasan kuasa pada 5 Disember tahun lalu.

Menurut laporan akhbar Fiji Times, Presiden Persatuan Peguam Komansel (CLS), Graeme Mew, telah menulis kepada Lawasia minggu lalu memintanya menyatakan pendiriannya berhubung pelantikan Mah tersebut.

Dalam surat tersebut, Mew berkata, CLA amat memandang berat pelantikan itu akan memberi kredibiliti kepada kerajaan sementara Republik Fiji yang ditubuhkan melalui kudeta tentera pada Disember 2006. Berita asal