PAS takkan setuju 'negara sekular' untuk pikat bukan Islam
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menolak cadangan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang mahu parti itu menerima Malaysia sebagai negara sekular untuk menarik undi bukan Melayu.
Katanya, dalam manifesto DAP sendiri ada menjelaskan mengenai matlamat parti itu untuk 'memperjuangkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular'.
Ia katanya cukup jelas menunjukkan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara sekular seperti didakwa Lim.
"Malaysia bukan negara sekular.. kalau Malaysia negara sekular, apa perlu DAP masukkan dalam manifesto mereka memperjuangkan sebuah negara sekular? Itu manifesto DAP sendiri.
"Islam adalah agama rasmi persekutuan. Keduanya, adalah Malaysian Malaysia, tidak ada orang Melayu boleh terima konsep kesamarataan," katanya pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS di IDCC Shah Alam, hari ini.
Terdahulu, Lim mencadangkan tiga kaedah yang difikirkannya mampu membantu PAS mendapatkan sokongan orang bukan Islam.
Pertama kata Lim, Abdul Hadi dan PAS perlu bersetuju dengan pandangan bahawa Malaysia ialah sebuah negara sekular yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi.

Kata ahli parlimen DAP itu, pendirian tersebut sudah diakui tiga perdana menteri terawal Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra, Abdul Razak Hussein dan Hussein Onn.
"Seterusnya pemimpin PAS perlu berhenti melabel orang bukan Muslim sebagai kafir kerana perkataan tersebut sering dihamburkan kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia dan secara tidak langsung memberi persepsi buruk kepada kaum-kaum lain yang bukan beragama Islam,” katanya.
Jelaskan maksud 'kafir'
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata sebarang usaha menyentuh elemen-elemen yang terdapat dalam asas pembentukan Malaysia akan menimbulkan polemik dalam masyarakat.

"Kita menerima tonggak-tonggak asas dalam pembentukan negara seperti Islam agama rasmi, kedudukan raja-raja melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kebudayaan Melayu sebagai kebudayaan negara termasuklah hak keistimewaan orang Melayu,” katanya.
Tuan Ibrahim turut menjelaskan maksud perkataan kafir dalam bahsa Arab 'Kafarah' yang bermakna “menutupi kebenaran”.
"Selain daripada Islam, ialah bukan Islam, bukan Islam itu kafirlah yang bermakna menutupi kebenaran, kebenaran Islam itu mereka tak nampak," katanya.
Katanya, terdapat salah faham di kalangan bukan Islam kerana istilah tersebut bukanlah perkataan yang jijik dan keji atau berniat mengeji mereka, sebaliknya adalah istilah mengenai akidah.
Dia turut menegaskan ucapan dasar Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bukanlah mengutuk peribadi Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetapi soal pentadbirannya yang disifatkan berlainan dari apa yang diperjuangkan Anwar dulu.
"Ia bukan soal peribadi tapi soal pentadbiran, waktu bersama dia (Anwar) dulu, kita (sama-sama) kena gas pemedih mata ketika berdemo, tapi hari ini sebahagian demonstrasi, dia bertindak (ambil tindakan) padahal dulu dia yang mulakan.
"Apa yang disebut nak membela (kenaikan) harga barang dan kos hidup, apa yang dijanji dulu tidak ditunaikan,' katanya.
Katanya lagi, lebih mendukacitakan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar meneruskan agenda mengenepikan hak negeri-negeri pembangkang seperti isu royalti minyak dan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/ac61a831754094ab90844d0ece5059e6.jpg)
