Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya terbuka untuk menerima pandangan pihak luar berkenaan peranan empat kerajaan negeri yang ditadbir PAS (SG4).

Katanya, pelantikan bekas perdana menteri Mahathir Mohamad memberi nilai tambah (added value) dan berperanan untuk menarik pelaburan asing selain SG4 akan sentiasa meneruskan kerjasama dengan kerajaan persekutuan.

"Saya sangat terbuka untuk mendapatkan mana-mana nasihat atau pandangan dan cadangan, termasuklah, kalau Tan Sri Lim Kit Siang sendiri pun nak beri pandangan dan idea, kita terbuka.. this is way above politics (ini jauh mengatasi politik).

"Kalau kita nak bercakap tentang politik setiap masa dan tidak boleh buat kerana ada perbezaan politik, saya rasa kita tidak boleh bergerak ke hadapan," katanya pada sidang media bersama empat Menteri Besar di Muktamar Tahunan PAS ke-69 di IDCC Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, untuk mencapai hasrat dan matlamat SG4, kerjasama dan pandangan semua pihak amat dialu-alukan.

"Kita berdepan pelbagai isu dalam negara kita, pendekatan politik sekian lama kita amalkan, kita kena tengok balik.

"Ada perkara yang perlu non partisan, non political commitment dari pelbagai pihak, pada saya, apa saja nilai tambah yang boleh kita capai daripada sesiapa pun, so it be," katanya lagi.

Ulas Samsuri lagi, tidak timbul isu SG4 hendak bersaing dengan kerajaan persekutuan atau mana-mana negeri lain.

"Kita tak boleh menafikan apa jua kerjasama yang wujud antara negeri-negeri dan kita tertakluk kepada jadual 9 dalam perlembagaan persekutuan, dimana, ada kuasa kerajaan negeri, ada kuasa kerajaan pusat dan ada kuasa bersama.

"Kita taknak mengacau mana-mana pihak, kita tidak ingin menyaingi atau bertanding dengan sesiapa pun, kita nak semua pihak boleh bekerjasama," katanya lagi.