Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ikmal Hisham anggap permohonan maaf jurugambar PM 'positif'
Diterbitkan:  Oct 21, 2023 8:55 PM
Dikemaskini: 12:55 PM

Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz menyifatkan permohonan maaf jurugambar perdana menteri, Sadiq Asyraf berhubung gambar kontroversi yang mendakwa dia "menghisap vape" di parlimen sebagai satu perkembangan positif.

Bagaimanapun wakil rakyat Bersatu itu mengakui terkejut dengan permohonan maaf itu kerana isu berkenaan masih lagi dalam perbincangan penyelesaian secara baik dengan Saqid.

"Saya anggap (perkembangan) positif walaupun terkejut kerana kita masih lagi di peringkat perbincangan untuk penyelesaian secara baik memandangkan saya sesekali tidak pernah hisap vape.

"Saya bukan perokok atau penghisap vape. Pen tersebut di letak dibibir secara spontan untuk seketika sahaja," katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Semalam, Sadiq yang juga jurugambar kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membuat permohonan maaf kepada Ikmal Hisham susulan dakwaan menghisap rokok elektronik atau vape di dalam Dewan Rakyat.

Ia ekoran satu gambar kontroversi yang tular di media sosial seperti menggambarkan Ikmal Hisham sedang menghisap vape di dalam Dewan Rakyat.

Sadiq membuat permohonan maaf itu menerusi satu hantaran di laman sosial X.

“Saya memohon maaf kepada saudara YB Datuk Seri (Ikmal Hisham) sekiranya ada salah tanggapan bahawa objek yang dipegang beliau adalah vape.

“Berharap agar segala salah faham kini telah diselesaikan secara harmoni,” tulisnya.

Sebelum ini Ikmal Hisham menafikan tuduhan yang dia menghisap vape di parlimen dan merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap Sadiq.

Ikmal Hisham berkata dia bukan seorang perokok apatah lagi menghisap vape.

Malah dia juga meminta Speaker Dewan Rakyat supaya meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di Dewan Rakyat bagi membuktikan kebenaran.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS