Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan dua majlis agama Islam untuk mencelah dalam cabaran mengenai kesahan undang-undang di tujuh negeri berhubung pengislaman kanak-kanak bawah umur secara sepihak.

Mahkamah sivil itu meluluskan permohonan mencelah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan Majlis Agama Islam Johor (Maij), tetapi bagaimanapun menolak permohonan yang sama oleh Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan (BPSWP).

“Selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat dan meneliti kertas-kertas kausa yang difailkan dalam kes ini, mahkamah mendapati permohonan pencelah oleh BPSWP adalah tidak bermerit.

“Namun, permohonan Maiwp dan Maij mempunyai merit dan mahkamah membenarkan permohonan berkenaan tanpa perintah terhadap kos," kata hakim Ahmad Kamal Md Shahid dalam prosiding secara dalam talian hari ini.

Peguam Rajesh Nagajaran, yang mewakli guru tadika M Indira Gandhi dan 13 plaintif lain, mengesahkan keputusan hari ini.

"Mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos, dengan pengurusan kes kini ditetapkan pada 20 Nov jam 9 pagi," kata peguam itu kepada media selepas prosiding sivil dalam talian.

Pada prosiding hari ini, Maiwp diwakili peguam Zainul Rijal Abu Bakar dan Danial Farhan Zainul Rijal manakala Mohd Ikbal Salam dan Mohamed Yasser Mohd Yasin bagi Maij. Peguam Abdul Razak Muhidin dan Nini Shirma Rahmat mewakili BPSWP manakala Amanda Sonia Mathew, mewakili plaintif.

Indira dan 13 lain selaku plaintif memfailkan saman pemula itu pada 3 Mac lepas dengan menamakan kerajaan negeri Perlis, Kedah, Melaka, Pahang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan selaku defendan.

Selain Indira, plaintif yang lain ialah Pertubuhan Hindu Agamam Ani Malaysia, bekas pengerusi Malaysia Hindu Sangam dan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) S. Mohan dan Pengerusi Indira Gandhi Action Team D Arumugam serta beberapa penduduk di negeri berkenaan dan mangsa kepada kepada penukaran agama secara unilateral.

Mereka antara lain memohon perisytiharan bahawa amalan penukaran agama secara unilateral adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Kesemua plaintif mendakwa penukaran unilateral yang berlaku di negara ini dari tarikh keputusan kes Indira adalah terbatal kerana melanggar peruntukan berkenaan selain menyatakan dengan keputusan Indira, sebarang penukaran agama kanak-kanak bawah umur secara unilateral tanpa kebenaran kedua-dua ibu bapanya adalah tidak berperlembagaan.

Pada 29 Jan 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira kepada Islam oleh bekas suami mualafnya, adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Mengikut undang-undang sivil, sesuatu pihak boleh memohon untuk mencelah jika pihak tersebut berkemungkinan terjejas akibat keputusan kes atau walaupun tidak terjejas tetapi masih mempunyai kepentingan yang sah dalam keputusan perkara itu.

Undang-undang negeri di Wilayah-wilayah Persekutuan, Perlis, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Johor pada masa ini membenarkan penukaran agama secara sepihak.

Plaintif berhujah bahawa enakmen negeri yang dipertikaikan adalah tidak sah kerana melanggar Perkara 12(4) dan 75 Perlembagaan Persekutuan serta keputusan Mahkamah Persekutuan 2018 berhubung penukaran agama secara unilateral.

[Baca berita penuh]