Saya tak terpilih ertinya PAS ada ramai pemimpin lebih baik - Nasrudin
Bekas ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan mendakwa dirinya tidak kecewa meskipun ditolak oleh para perwakilan dan kalah pada pemilihan jawatankuasa kerja PAS bagi penggal 2023- 25 pada Muktamar Tahunan ke-69 di Shah Alam, Ahad lalu.
Menurutnya, perwakilan lebih memilih mereka yang berkemampuan untuk memimpin perjuangan parti.
"Saya tidak terpilih ertinya, PAS ada ramai pemimpin yang jauh lebih baik dari saya.
"Saya yakin dan percaya pada kualiti pemilihan dari perwakilan.
"Jelas, mereka (perwakilan) melihat kepada keupayaan dan kemampuan pemimpin untuk memikul beban amanah perjuangan," kata Nasrudin ketika dihubungi Malaysiakini.

Walaupun gagal menempatkan diri dalam kalangan 18 orang AJK yang mendapat undian tertinggi, Nasrudin tetap positif dan berjanji akan terus memberi khidmat kepada parti.
"Saya akan terus bekerja, membantu parti dan kepimpinan baharu dengan kudrat yang saya mampu.
"Saya juga bersedia memberi khidmat kepada parti dan perjuangannya di mana jua saya berada, jadi, saya serah kepada pimpinan dalam bab kepimpinan ini.
"Saya tidak hot (panas), saya cool saja dalam bab ini," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Assabiqun (veteran), Mahfodz Mohamed turut menerima keputusan perwakilan yang menolaknya.
"Walaupun tak pegang apa pun jawatan, saya terus istiqamah saya akan terus dalam perjuangan," katanya dalam ucapan penggulungan.
Selain Nasrudin dan Mahfodz, dua lagi pemimpin iaitu Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Adun Penaga, Mohd Yusni Mat Piah juga tidak terpilih.

Pada pemilihan tersebut, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendapat undian tertinggi diikuti oleh bekas ketua Pemuda, Ahmad Fadhli Shaari dan Muhammad Khalil Abdul Hadi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/121a8eddf39dffbcfc8c7230eaf0203e.jpg)
