Suaram gesa polis siasat dakwaan aktivis PSM dikasari pegawai PTG
Suaram menggesa siasatan segera dijalankan berhubung kejadian seorang aktivis mengalami kecederaan didakwa dikasari pegawai kerajaan di Perak, pagi tadi.
Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata semua pegawai kerajaan, tanpa mengira pangkat dan mandat, mempunyai tanggungjawab untuk memastikan mereka menjalankan tugas dengan adil dan berintegriti.
"Ini termasuklah tidak menggunakan kekerasan di samping mengangkat hak, kesejahteraan dan kebajikan orang yang mereka berkhidmat, termasuk pembela hak asasi manusia yang tanpa jemu berjuang demi komuniti rentan dan terpinggir.
"Kami menuntut pihak polis untuk segera memulakan siasatan terhadap serang sentuh yang berlaku,” kata Sevan dalam satu kenyataan hari ini.
Dia berkata demikian ketika mengulas insiden aktivis PSM Chong Yee Shan, yang mengalami kecederaan di mulut dan hidung selepas didakwa ditolak pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak berhampiran sebuah ladang di Kanthan, Tambun pagi tadi.

Menurut ahli jawatankuasa PSM R Karthiges, pegawai PTG telah datang ke lokasi dengan jentolak dan jengkaut untuk mengusir enam petani, sebelum kekecohan tercetus apabila petani dan aktivis yang hadir cuba menghalang pegawai PTG.
Chong didakwa ditolak dengan kasar sehingga dia terjatuh dan tercedera.
Mengulas lanjut, Sevan berkata memandangkan insiden itu berlaku di Tambun, yang merupakan kawasan parlimen Anwar Ibrahim, perdana menteri itu perlu segera melihat kesahan pengusiran dilakukan oleh Pejabat Pendaftaran Tanah, dan berunding dengan petani terbabit dan pihak berkepentingan lain.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/378e65e7e91838bfd63e49f00209f769.jpg)
