Usul ditolak: Wan Fayhsal gesa PM lebih tegas terhadap Israel
Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim perlu lebih tegas dalam menyuarakan bantahan terhadap kezaliman regim Israel ke atas rakyat Palestin, kata Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ini selepas usul tergempar agar Dewan Rakyat meluluskan resolusi supaya kerajaan membawa usul bagi mengheret Israel dan Benjamin Netanyahu sebagai Penjenayah Perang ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) melalui Majlis Keselamatan PBB ditolak Speaker Dewan Rakyat.
"Saya harap PM (Anwar Ibrahim) lebih tegas ke atas Israel dan Netanyahu. Tapi tak pernah ada sebelum ini. Anwar hanya 50-50 dari segi kenyataan ke atas Israel.
"Maksud saya 50-50 bukan bermakna dia tidak bercakap langsung. Dia ada bercakap. Maksud saya dalam konteks menyelar, mengecam jenayah perang terhadap Israel dan pihak yang sokong itu iaitu Amerika Syarikat.
"Ini yang kami tidak dengar daripada Wisma Putra. Saya tahu kami dapat maklumat daripada rakan-rakan dari Wisma Putra, memang pendirian (kerajaan) buat masa ini tak mahu membawa usul ini ke PBB," katanya kepada pemberita pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
ICC membicarakan empat jenayah utama di peringkat antarabangsa - pembunuhan beramai-ramai (genocide), jenayah kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.
Untuk rekod, Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rome iaitu treati (perjanjian) bagi mengiktiraf ICC pada 2019.
Terdahulu, usul yang kemukakan Wan Fayhsal di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) ditolak menerusi surat balasan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul bertarikh 23 Oktober.
Johari menjelaskan isu mengenai konflik Israel- Palestin telah dijelaskan perdana menteri semasa sesi penerangan menteri pada 16 Oktober dan oleh Timbalan Perdana Menteri semasa sesi Penerangan Menteri pada 9 Oktober 2023.
Perkara itu turut diulangi oleh Timbalan Speaker Alice Lau Kiong Yieng hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Fayhsal berkata Anwar perlu lebih tegas dalam menyatakan pendirian kerajaan terhadap keganasan yang dilakukan Israel terhadap penduduk Gaza.
"Walaupun PM Anwar Ibrahim pernah memberi penjelasan di Dewan Rakyat sebelum ini, masa itu pengeboman ke atas Hospital Gaza belum berlaku lagi.
"Dalam Dewan Rakyat kita belum sempat untuk mengecam dan membahaskan masalah ini berhubung kaitan dengan jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva,” jelasnya.
Katanya, ini berbeza dengan pendidian yang diambil kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Najib Razak pada 2010.
"Pada hari ini, seolah-olah kerajaan Malaysia tak mahu bersuara secara lantang dan berterus-terang mengenai jenayah perang Israel," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/6cc4c12382fc9467a3fcdb34b00dfcd3.jpg)
