Polis tidak menerima sebarang laporan berhubung Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (gambar) yang didakwa diugut menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Kami belum menerima sebarang laporan (mengenai perkara ini) setakat ini," kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain dalam jawapan ringkas melalui mesej teks hari ini.

Malaysiakini menghubunginya untuk menyemak sama ada polis membuka siasatan atau menerima sebarang laporan mengenai dakwaan itu.

Pada 13 Okt lepas, ketua pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa Iskandar, dari Perikatan Nasional (PN), diugut oleh kerajaan dan dipaksa menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Ini berlaku sehari selepas ahli parlimen Bersatu itu mengeluarkan kenyataan akhbar menyatakan sokongan kepada perdana menteri, meski menegaskan masih setia kepada parti pembangkang.

Iskandar menyebut kenaikan kos sara hidup di kawasannya sebagai alasan di sebalik keputusan itu, dan juga untuk menguji sama ada perdana menteri ikhlas memberikan peruntukan kepada mana-mana ahli parlimen yang menyokong dasar kerajaan perpaduan.

Hamzah mendakwa Iskandar membuat keputusan itu selepas dibawa ke sebuah hotel di Damansara dan bertemu pegawai kanan SPRM yang mengugut dengan tuduhan rasuah.

SPRM menafikan dakwaan itu.

Berikutan itu, Anwar pada 18 Okt lalu menegur Hamzah dan memberitahu setiausaha agung PN itu untuk membuktikan dakwaannya dengan mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa.