Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid menggesa Suruhanjaya Kanak-Kanak yang akan ditubuhkan supaya turut menjaga hak dan kebajikan kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Syerleena berharap proses penglibatan dan perundangan dapat dimulakan bagi menubuhkan suruhanjaya supaya ia dapat menyelesaikan isu kanak-kanak yang tidak memiliki kewarganegaraan di Malaysia.

“Berbeza dengan naratif palsu yang sering diulang, kanak-kanak tanpa kerakyatan bukanlah ancaman keselamatan dan mereka bukan warga asing di negara ini.

"Kebanyakan kanak-kanak tanpa kerakyatan di Malaysia adalah anak rakyat Malaysia yang telah dinafikan hak mereka kerana birokrasi. Kebanyakan kanak-kanak tanpa kerakyatan ini menghadapi halangan birokrasi yang amat sukar, daripada syarat prosedur yang rumit kepada beban pembuktian yang membebankan," kata Syerleena.

Dia berkata, kanak-kanak tanpa kerakyatan kebiasaannya terpinggir dalam sistem sosial di negara ini.

"Mereka sering terpinggir daripada menerima pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan, dan kebajikan sosial yang diperlukan dan isu-isu ini memberi kesan negatif kepada perkembangan mereka.

"Kanak-kanak tanpa kerakyatan ini sering membesar menjadi individu yang dipulaukan daripada masyarakat, dinafikan hak untuk bekerja secara sah dan peluang melanjutkan pelajaran. Potensi mereka sebagai individu yang boleh menyumbang kepada negara menjadi sia-sia," tambahnya.

Bulan lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata kementeriannya telah mencadangkan hukuman setimpal terhadap individu yang mendera kanak-kanak di bawah Rang Undang-undang Suruhanjaya Kanak-Kanak untuk dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober ini.

Dia berkata sebagai entiti yang bertanggungjawab menjaga kepentingan kanak-kanak, rang undang-undang itu mesti dilaksanakan dengan berkesan dan selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2011 (Pindaan) 2016.

Media juga melaporkan sebelum ini bahawa rang undang-undang yang akan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Udang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said digubal selepas sesi penglibatan dengan pihak berkepentingan dan kajian mendalam.

Syerleena berkata, ketika perbahasan Belanjawan 2024 di peringkat dasar pada Isnin lalu, dia telah membangkitkan isu kanak-kanak yang tidak memiliki kewarganegaraan berkaitan penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak.

"Usaha kerajaan menyelesaikan permohonan kerakyatan yang tertangguh adalah membanggakan. Tetapi pada masa yang sama, kerajaan mesti mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan punca masalah ini dan bukan hanya merawat gejalanya.

“Justeru, saya ingin menekankan betapa pentingnya Suruhanjaya Kanak-Kanak ditubuhkan dengan mandat yang luas, dianggotai oleh Pesuruhjaya yang arif dalam isu kanak-kanak khususnya berkaitan kewarganegaraan dan hak kanak-kanak dengan dana yang mencukupi untuk melaksanakan mandatnya sepenuhnya.

“Selain daripada menyelesaikan isu ketiadaan kewarganegaraan kanak-kanak, Suruhanjaya juga mesti diberi kuasa untuk melindungi hak dan kebajikan kanak-kanak,” kata Syerleena.

[Baca berita asal]