Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kanak-kanak berdemo sokong Palestin di Roblox
Diterbitkan:  Oct 25, 2023 9:00 PM
Dikemaskini: 1:00 PM

Kira-kira 200 pemain permainan video kanak-kanak 'berdemonstrasi' di atas talian sebagai tanda solidariti terhadap Palestin di sebuah aplikasi permainan video, Roblox.

Demonstrasi itu dianjurkan oleh penstrim permainan video, cikgu zyd di Roblox dan disiarkan secara langsung di akaun TikTok miliknya hari ini.

“Terdapat 200 orang pemain di Roblox yang telah menyertai acara ini dan seramai 1300 orang turut menonton di siaran langsung TikTok,” kata Zyd di siaran langsung tersebut.

Bukan sahaja mendapat sambutan daripada kanak-kanak di Malaysia, malah demontrasi itu turut tular dan telah disertai oleh pemain luar negara.

Menerusi sebuah perkongsian daripada seorang pengguna X dari Algeria, dia menyatakan bahawa sepupunya yang berusia 15 tahun menyertai perhimpunan di Roblox itu.

Kesemua karakter animasi pemain dilihat mengibarkan bendera Palestin dan Jalur Gemilang di ruangan pelayan permainan tersebut sebagai tanda protes terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin.

Dalam masa yang sama, Zyd yang juga pemilik pelayan permainan itu mengetuai bacaan doa qunut nazilah dan juga melaungkan "Hidup, hidup. Hidup Palestin!" di dalam siaran langsungnya di TikTok.

Zyd memaklumkan ramai pemain yang menyertai acara ini adalah terdiri daripada kanak-kanak sekolah.

Namun, kebanyakan ibu bapa juga menunjukkan sokongan dan turut menyertai acara berhimpun tersebut.

“Suruh anak-anak pergi sekolah dahulu, balik sekolah nanti boleh sertai,” kata Zyd di siaran langsung TikTok.

Perhimpunan itu dijalankan di sebuah pelayan permainan (game server) yang diberi nama Dataran Tanjung Mas.

Dataran Tanjung Mas diinspirasikan daripada kawasan tepi pantai yang berada di Muar, Johor.

Menurut Zyd, rekaan susun atur Dataran Tanjung Mas di Roblox direka oleh seorang pemain tingkatan tiga yang bersekolah di salah sebuah sekolah menengah di Muar.

Roblox adalah sebuah aplikasi permainan atas talian yang membenarkan pemainnya untuk memprogramkan permainan video sendiri dan ramai pemainnya terdiri daripada kanak-kanak.

Lihat Komen
ADS