'Mohon mahkamah paksa firma serah dokumen tunjukkan serbuan SPRM tak sah'
Permohonan mahkamah SPRM menunjukkan bahawa serbuan agensi antirasuah ke atas sebuah firma guaman awal bulan ini adalah menyalahi undang-undang sejak awal lagi, kata salah seorang daripada 17 rakan kongsi firma guaman berkenaan.
Dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur awal hari ini, Rosli Dahlan menegaskan serbuan ke atas Rosli Dahlan Saravana & Partnership (RDS) pada 6 Okt lepas melanggar Seksyen 46 Akta SPRM 2009.
“Dalam cubaan menyerbu firma itu pada 6 Okt, pemohon (SPRM) telah melanggar Seksyen 46 Akta SPRM. Permohonan yang dibuat selepas serbuan salah itu mengesahkan serbuan tersebut tidak sah.
“Permohonan yang dimulakan oleh pemohon di bawah Seksyen 31(1) dan 46 Akta SPRM adalah ultra vires (melebihi kuasa yang diberikan kepada pihak berkuasa di bawah undang-undang),” kata Rosli pada afidavit yang dilihat oleh Malaysiakini.
Pada 6 Okt lepas, SPRM dan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cuba menggeledah dan menyita dua firma guaman, termasuk RDS.
Susulan kejadian itu, media tempatan melaporkan SPRM telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk memaksa firma guaman itu menyerahkan beberapa dokumen dalam siasatan berhubung penyelesaian yang dimeterai antara Goldman Sachs dan kerajaan mengenai bon 1MDB isu.
Awal bulan ini, Goldman Sachs membawa Malaysia ke mahkamah timbang tara United Kingdom (UK) berhubung perjanjian penyelesaian yang dikaitkan dengan peranan bank itu dalam urusan 1MDB.
Untuk rekod, Seksyen 46 (1) Akta SPRM menyatakan: "Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis lain, seseorang Hakim Mahkamah Tinggi boleh, apabila permohonan dibuat kepadanya berhubungan dengan sesuatu penyiasatan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini, memerintahkan seseorang peguam bela dan peguam cara supaya mendedahkan maklumat yang tersedia kepadanya yang berkenaan dengan apa-apa transaksi atau urusan yang berhubungan dengan apa-apa harta yang boleh disita di bawah Akta ini."
Sementara itu, Seksyen 46 (2) Akta SPRM pula menyebut: "Tiada apa-apa jua dalam subseksyen (1) boleh menghendaki seseorang peguam bela dan peguam cara mematuhi apa-apa perintah di bawah subseksyen itu sehinggakan pematuhan itu akan mendedahkan apa-apa maklumat atau komunikasi terlindung yang sampai kepada pengetahuannya bagi maksud apa-apa prosiding yang belum selesai."
Dalam perkembangan berkaitan, Seksyen 31 Akta SPRM mengenai kuasa untuk memeriksa dan menggeledah dan menyita.
SPRM pada 11 Oktober lalu memfailkan permohonan untuk mendapatkan dokumen daripada dua peguam berkaitan urusan penyelesaian antara kerajaan Malaysia dengan AmBank serta Goldman Sachs membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
SPRM memohon dua responden masing-masing mengemukakan 10 dokumen antaranya surat pelantikan sebagai peguam Goldman Sachs (Chetan) dan 1MDB (Rosli), penyata akaun serta akaun syarikat.
Menurut afidavit Rosli, peguam itu berpendapat keseluruhan permohonan mahkamah SPRM adalah cacat material, tidak teratur dan didorong oleh mala fide (niat jahat).
Dia mendakwa ini kerana permohonan mahkamah itu sengaja memilih namanya sebagai responden pertama daripada dua responden tersenarai (RDS ialah responden kedua).
“Pemohon dengan sengaja menyebut nama saya sebagai responden pertama walaupun, seperti yang akan dilihat kemudian, tiada dokumen yang dicari adalah terhadap saya atau peribadi saya.
"Dokumen istimewa dan sulit yang dicari adalah terhadap responden kedua sebagai firma (RDS). Saya adalah salah seorang daripada 27 rakan kongsi firma itu.
"Tiada sebab untuk menamakan saya sebagai responden pertama kecuali untuk menimbulkan tanggapan kepada orang ramai bahawa saya adalah sasaran utama siasatan dan orang yang dituduh," kata Rosli.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/8d5fd4eb1564d46c39fe06a7e1bf312a.jpg)
