MP DAP gesa k'jaan benarkan operasi NFO secara dalam talian
Seorang ahli parlimen DAP menggesa kerajaan membenarkan agensi nombor ramalan (NFO) beroperasi dalam talian dalam usaha menangani ketirisan cukai.
Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun, dalam satu kenyataan, berkata strategi itu akan meletakkan NFO sebagai pemain utama dalam usaha menentang ekonomi bayangan yang mengakibatkan ketirisan cukai.
“Ini bukan sahaja meningkatkan kutipan cukai tetapi juga membolehkan pengawalseliaan pasaran yang berkesan.
“Langkah sedemikian akan mengurangkan pengaruh ekonomi bayangan dan mengoptimumkan kutipan hasil cukai kita,” kata Fong.
Fong menegaskan bahawa sektor permainan NFO terjejas akibat operator haram yang melanggar undang-undang dan mengelak cukai.
Dia juga memetik laporan yang didakwa menunjukkan bahawa sindiket perjudian 4D haram, terutamanya yang beroperasi dalam talian, menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM18 bilion setahun.
"Ini adalah dua kali ganda hasil operator yang beroperasi secara sah, dengan tiada satu pun daripadanya menyumbang kepada cukai negara .
“Oleh itu, Malaysia kehilangan kira-kira RM5 bilion cukai setiap tahun, dana yang penting untuk perkhidmatan awam dan projek pembangunan.
“Sindiket yang sama ini beroperasi tanpa dihukum, terlibat dalam aktiviti seperti pengubahan wang haram, pinjaman wang haram dan penipuan dalam talian,” tegasnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/7f4b7113d88b4e90bcf9c7592feba2f4.jpg)
