Fadhlina: KPM tiada rancangan kembalikan UPSR
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan mengembalikan peperiksaan darjah enam UPSR di semua sekolah rendah walaupun terdapat gesaan daripada sesetengah ibu bapa.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dipetik Berita Harian berkata KPM sebaliknya akan menumpukan kepada penglibatan berterusan ke arah membangunkan kurikulum baru menjelang tahun 2027.
Dia berkata ibu bapa yang prihatin boleh membantu kementerian dengan menyalurkan idea mereka mengenai kurikulum baru semasa siri jelajah KPM ke seluruh negara.
"Kita mahu libat urus yang meluas untuk (mendapatkan) input-input bagi memperkukuh sistem pendidikan negara.

"Sekarang ini kita nak beri tumpuan kepada pentaksiran holistik kepada anak-anak kita, khususnya pembangunan mereka secara keseluruhan bagi memastikan antaranya karakter boleh diperkukuh," katanya di Nibong Tebal hari ini.
Sebelum ini, antara kebimbangan yang dibangkitkan oleh ibu bapa termasuk bagaimana kekurangan peperiksaan standard di peringkat rendah boleh menjejaskan motivasi pelajar.
KPM pada Ogos lalu melancarkan tinjauan dalam talian untuk memulakan rancangan pelaksanaan kurikulum baru pada tahun 2027.
Peperiksaan UPSR mula diperkenalkan pada 1998 dan dibatalkan pada 2021, digantikan dengan sistem pentaksiran berasaskan sekolah.
Pada 2021, pentadbiran ketika itu turut membatalkan pelaksanaan peperiksaan PT3 di peringkat menengah.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/d0fe656c02e49df40840be3aae745a48.jpg)
