Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) kini merupakan rakan kongsi hak penjenamaan untuk Loftus Road Stadium, stadium ikonik kelab bola sepak Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) di London, United Kingdom (UK).
Matrade berkata perjanjian hak penjenamaan selama tiga tahun itu merupakan platform yang sangat berharga untuk meningkatkan profil dan keterlihatannya dengan ketara di UK.
“Digabungkan dengan cadangan penyertaan UK ke Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuki Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Matrade akan menggunakan platform stadium QPR yang berharga ini untuk meningkatkan lagi profil Malaysia sebagai negara perdagangan terbuka dan mengembangkan perdagangan terutamanya apabila perlawanan bola sepak atau acara sukan lain sedang disiarkan dari Loftus Road Stadium berkapasiti 18,169 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Matrade, kerjasama tiga tahun itu menandakan inovasi pertama untuk kedua-dua Matrade dan QPR, menyatukan promosi sukan dan perdagangan dengan cara yang segar dan menarik.

“Kos penuh perkongsian hak penjenamaan bernilai 1.2 juta pound Britain atau 400,000 pound setahun (1 pound Britain = RM5.7945) akan diserap oleh pemilik bersama Malaysia QPR yang juga ahli lembaga Matrade sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporatnya kepada Malaysia,” katanya.
Stadium itu secara rasmi ditukar nama kepada Matrade Loftus Road Stadium dalam satu majlis dihadiri Pengerusi Matrade Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican diiringi pemilik bersama QPR Datuk Ruben Gnanalingam Abdullah yang juga Ahli Lembaga Pengarah Matrade semasa lawatan ke stadium berkenaan pada Sabtu.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Datuk Zakri Jaafar, Ahli Lembaga Pengarah Kanan Matrade Datuk Hazimah Zainuddin,dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Matrade Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata UK adalah ekonomi keenam terbesar di dunia.

“Perdagangan antara Malaysia dan UK pada masa ini berjumlah RM17.58 bilion (3.24 bilion pound Britain) dan ini dijangka berkembang dengan cadangan penyertaan UK ke CPTPP.
“Justeru, Matrade Loftus Road Stadium adalah platform penjenamaan bernilai tinggi dan alat pemasaran dalam menambah baik profil Malaysia di UK dan meningkatkan peluang untuk eksport Malaysia ke pasaran ini,” katanya.
Reezal Merican pula berkata Matrade akan memanfaatkan platform berharga ini untuk meningkatkan pengiktirafan globalnya sebagai agensi yang dipercayai untuk menghubungkan perdagangan antara Malaysia dan UK dengan memanfaatkan sejarah lama QPR dalam liga bola sepak Inggeris.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif QPR Lee Hoos berkata keputusan untuk memberikan hak penjenamaan stadium dibuat atas kepentingan komersial kelab itu.
“Kami gembira dengan perjanjian ini kerana QPR sentiasa mencari cara untuk meningkatkan portfolio rakan kongsi kami. Selain itu, kami juga teruja untuk bekerjasama dengan Matrade,” katanya.
- Bernama
