Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cubaan bawa keluar kuda laut ke Thailand gagal
Diterbitkan:  Oct 30, 2023 11:03 AM
Dikemaskini: 3:03 AM

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Kedah mematahkan cubaan menyeludup keluar 90 kilogram (kg) kuda laut bernilai RM180,000 ke Thailand tanpa dokumen sah dalam satu operasi Rabu lepas. 

Pengarah Maqis Kedah Hisham Abu Bakar berkata operasi pada 4 petang itu dijalankan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perikanan Negeri Kedah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di laluan penumpang (eksport).

"Hasil pemeriksaan bersama yang dilakukan mendapati sebanyak 90 kg kuda laut dianggarkan bernilai RM180,000 tanpa sebarang dokumen yang sah, iaitu tanpa Permit Eksport daripada Maqis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang melalui operasi bersama agensi akan terus diperkasakan bagi memastikan tumbuhan, karkas, ikan dan hasilan pertanian bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berjangkit serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS