Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua bekas pemimpin Umno dilantik AJK PAS Pusat
Diterbitkan:  Oct 31, 2023 8:31 AM
Dikemaskini: 2:46 AM

Dua bekas pemimpin Umno - Annuar Musa dan Shahidan Kassim adalah antara sembilan individu yang dilantik sebagai ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat bagi 2023-2025.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan malam tadi berkata, pelantikan jawatan tersebut dibuat pada mesyuarat jawatankuasa kerja parti itu, semalam.

Takiyuddin Hassan

“Ia dicadangkan serta dipersetujui berdasarkan peruntukan Fasal 25 dan 26 Perlembagaan parti berkenaan.

“AJK lain yang dilantik termasuk Nasrudin Hassan, Mohd Yusni Mat Piah, Wan Rohimi Wan Daud, Mohd Zuhdi Marzuki, Nik Muhammad Zawawi Salleh, Ahmad Yunus Hairi dan Mohd Mazri Yahya.

“Penolong Setiausaha Agung 1, 2 dan 3 pula masing-masing disandang oleh Khairul Faizi Ahmad Kamil, Khairul Fahmi Matsom dan Mohd Syahir Che Sulaiman,” katanya.

Annuar dan Shahidan adalah antara ahli Umno yang dipecat keahlian mereka pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, sebelum pilihan raya umum ke-15, tahun lalu.

Annuar yang juga bekas setiausaha agung Umno menyertai PAS pada Jun lalu. Bekas ahli Parlimen Ketereh itu juga adalah pengerusi NGO Muafakat Nasional.

Shahidan pula adalah bekas ahli Parlimen Arau dari BN tetapi dipecat daripada Umno selepas bertanding di kerusi Parlimen itu pada PRU15 atas tiket Perikatan Nasional (PN) selepas namanya tidak tersenarai sebagai calon. Bekas ahli MKT Umno itu, bagaimanapun erjaya mempertahankan kerusi Arau.

Selain itu, Takiyuddin, juga menyenaraikan barisan Pesuruhjaya PAS negeri dan wilayah persekutuan yang dilantik.

Bekas Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob dikekalkan untuk mengetuai Pas Kelantan dalam senarai Pesuruhjaya Pas negeri dan Wilayah Persekutuan.

Hanya Adun Paya Jaras dan bekas pensyarah, Ab Halim Tamuri merupakan muka baharu apabila dia dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Selangor bagi menggantikan Ahmad Yunus.

Selain itu, kedudukan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Adun Gunung Semanggol Razman Zakaria sebagai pesuruhjaya PAS di Perlis dan Perak juga kekal. Begitu juga dengan bekas menteri besar Kelantan, Ahmad Yakob.

Berikut senarai penuh itu: Mohd Shukri Ramli (Perlis), Ahmad Saad@Yahaya (Kedah), Ahmad Yaakob (Kelantan), Husain Awang (Terengganu),  Muhammad Fauzi Yusoff (Pulau Pinang), Razman Zakaria (Perak), Rosli Abdul Jabar (Pahang), Ab Halim Tamuri (Selangor), Azhar Yahaya (Wilayah Persekutuan), Rafiei Mustapha (Negeri Sembilan), Zulkifli Ismail (Melaka), Abdullah Husin (Johor), Aliakbar Gulasan (Sabah) dan Jofri Jaraiee (Sarawak).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS