Puluhan terkorban dalam serangan Israel di kem pelarian
Puluhan terbunuh dalam siri serangan peluru berpandu Israel ke atas Jabalia, kem pelarian terbesar di Gaza pada hari Selasa.
Pegawai kesihatan tempatan menganggarkan sekurang-kurangnya 50 orang awam terbunuh dalam serangan ini, sekaligus menambah kepada jumlah lebih 8,000 rakyat Palestin dan 1,400 warga Israel yang terkorban sejak 7 Okt.
Saksi berkata peluru berpandu jatuh ke atas kem pelarian di utara Gaza ketika orang awam beratur untuk mendapatkan roti, lapor CNN.
Hamas berkata kira-kira 400 maut dan cedera dalam serangan di Jabalia, yang menempatkan pelarian daripada peperangan dengan Israel sejak 1948, lapor Reuters.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata ia menyerang kem pelarian itu untuk menghapuskan pejuang Hamas yang berada di sana.
Jurucakapnya Richard Hecht memberitahu CNN bahawa IDF menyasarkan Ibrahim Biari, seorang "komander kanan" Hamas, yang dikatakan terbunuh dalam serangan itu.
IDF berkata Biari adalah ketua kumpulan Hamas yang terlibat serangan 7 Okt ke atas Israel yang mengakibatkan 200 telah dijadikan tebusan.
Bagaimanapun, jurucakap Hamas Hazem Qassem menafikan mana-mana komander kanan mereka berada di sana dan menggelar dakwaan itu sebagai alasan Israel untuk membunuh orang awam, lapor Reuters.
Ditanya oleh CNN mengapa IDF menjatuhkan bahan letupan di sana kerana mengetahui ia adalah kawasan yang penuh dengan pelarian, Hecht berkata: "Ini adalah tragedi perang. Kami telah berkata selama beberapa hari, 'pindah ke Selatan, mereka yang tidak terlibat (perlu berada) di Selatan'."
Ini walaupun PBB mengesahkan laporan bahawa Selatan Gaza juga telah dibom.
Antara yang terbunuh di Jabalia ialah 19 ahli keluarga wartawan penyiaran Al Jazeera, Mohamed Abu Al-Qumsan.
“Jenayah Israel terhadap orang awam ini tidak boleh dibiarkan tanpa bertanggungjawab dan menghadapi kuasa penuh keadilan antarabangsa.
"Kami menggesa masyarakat antarabangsa untuk menangani ketidakadilan yang teruk ini dengan segera memberi keadilan bagi keluarga Mohamed Abu Al-Qumsan dan ramai lagi orang awam Gaza yang tidak berdosa yang kehilangan orang tersayang mereka," katanya.
'Lebih ramai tebusan akan dibebaskan'
Sementara itu, perunding Hamas berkata ia akan membebaskan lebih ramai tebusan warga asing dalam beberapa hari akan datang, lapor Reuters.
Hamas telah membebaskan empat wanita, dua warga Amerika dan dua warga emas Israel, sejak 7 Okt.
Akhbar itu juga melaporkan bahawa 81 warga Gaza yang cedera parah akan dipindahkan untuk rawatan di Mesir melalui lintasan Rafah.
Agensi bantuan telah melaporkan kekurangan air, makanan, bahan api dan ubat-ubatan yang teruk, dengan bantuan hanya mampu mengalir ke Semenanjung Gaza yang disekat.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata ia menerima 59 trak bantuan melalui lintasan Rafah semalam, menjadikan jumlah keseluruhan trak bantuan yang berjaya menyeberang kepada 217.
Ini adalah sebahagian kecil daripada 100 trak bantuan sehari, yang menurut PBB diterima Gaza sebelum permulaan keganasan yang sedang berlangsung.
Bahan api masih tidak dibenarkan masuk, kerana Israel mendakwa ia akan diambil oleh Hamas.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/fe38863e580d959642db04aba5ffa19e.jpg)
