Bekas perdana menteri Najib Razak dimasukkan ke hospital besar Kuala Lumpur selepas dijangkiti Covid-19.

Pembantunya, Muhammad Mukhlis Maghribi dalam satu kenyataan berkata Najib dikejarkan ke hospital selepas mengalami demam panas.

Bagaimanapun Mukhlis berkata Najib berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani kuarantin.

Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Mukhlis berkata keluarga Najib mengucapkan terima kasih kepada kakitangan penjara dan hospital atas tindakan segera mereka dalam memberikan rawatan kepada bekas perdana menteri itu.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Zaliha Mustafa mengesahkan kepada pemberita bahawa Najib kini sedang dirawat di hospital.

Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan lebih lanjut.

"Apa yang berlaku, rawatan dan penyakit adalah sangat sulit. Saya tidak boleh dedahkan di sini. Itu sahaja yang saya boleh katakan," katanya.