Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kereta api langar 14 ekor lembu, penumpang dan kru selamat

Seramai 336 penumpang dan lima kru kereta api Ekspres Rakyat Timuran (ERT) terselamat selepas tren dinaiki mereka merempuh 14 ekor lembu di KM84.50 - KM84.75 antara Stesen Bahau dan Stesen Triang, Bera di Pahang, dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Bera Supt Zulkiflee Nazir berkata dalam kejadian sekitar 3.10 pagi itu tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan ke atas penumpang.

Katanya pelanggaran itu mengakibatkan kesemua lembu mati selain berlaku beberapa kerosakan pada tren lapan gerabak itu antaranya di bahagian enjin.

"Perjalanan tren dari Gemas, Negeri Sembilan ke Tumpat, Kelantan itu kemudian diteruskan selepas pemeriksaan kerosakan dilakukan," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Sementara itu, Zulkiflee berkata insiden berkenaan bukannya yang pertama dilaporkan di lokasi berkenaan, berikutan telah berlaku kejadian sama pada 31 Okt lepas apabila tren membawa 400 penumpang melanggar lima ekor lembu.

Dia berkata tindakan sewajarnya harus dilakukan oleh pihak terbabit termasuk penternak yang perlu lebih bertanggungjawab dalam menjaga haiwan ternakan mereka.

"Tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkaitan perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk di masa akan datang," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS