MyAqsa mahu bawa bukti jenayah perang Israel ke ICC
Yayasan MyAQSA (MyAqsa) akan mengumpul bukti-bukti kekejaman dan jenayah perang yang dilakukan Israel terhadap Palestin dan membawanya ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), bulan ini.
Pasukan undang-undang MyAqsa, Lukman Sheriff Alias berkata pihaknya telah mengumpul segala bukti termasuk menemu bual penduduk Palestin serta merekod gambar ketika pasukannya ke sana pada 2019.
"Kami ambil masa lebih kurang setahun melakukan proses siasatan atas jenayah dilakukan zionis Israel dan turut bekerjasama dengan kerajaan Palestin serta Kedutaan Palestin di Malaysia bagi mengumpul bukti-bukti tersebut.
“Kami telah bertemu secara peribadi dengan pendakwa raya ICC di The Hague, Belanda berhubung penyediaan dan persiapan terhadap bukti-bukti itu, kami berharap satu tindakan segera akan diambil terhadap Israel.
“Pembunuhan beramai-ramai (genocide) yang dilakukan oleh zionis Israel adalah jenayah nyata terhadap pembersihan kaum (ethnic cleansing), menindas kemanusiaan serta jenayah perang di bawah bidang kuasa ICC serta Statut Rom,” katanya pada sidang akhbar di Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur, hari ini.
Untuk rekod, Israel yang bukan anggota ICC mempertikaikan bidang kuasa mahkamah itu dengan mendakwa penduduk Palestin tidak memiliki negara sendiri, meskipun Pihak Berkuasa Palestin (PA) menjadi anggota ICC pada Januari 2015 dengan menandatangani Statut Rom.
Pada Feb 2021, ICC memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa berhubung situasi di Palestin meluas sehingga ke wilayah dijajah Israel sejak 1967, iaitu Gaza dan Tebing Barat.
ICC menjalankan siasatan berhubung jenayah perang Israel sejak 2021.
Pada 12 Okt, pendakwa ICC Karim Khan memberitahu Reuters bahawa ICC mempunyai bidang kuasa menyiasat jenayah perang yang dilakukan oleh militan Hamas di Israel dan Israel di Semenanjung Gaza, kerana Gaza terletak di bawah bidang kuasa ICC manakala Hamas memerintah Gaza.
Sementara itu, Lukman berkata MyAqsa akan menggesa pendakwa raya ICC menggunakan kuasa, mengikut klausa tertentu dalam mengambil tindakan segera terhadap Israel berdasarkan laporan dan bukti yang diberikan.
"Kami kekal komited dalam perjuangan untuk mendapatkan keadilan, keamanan dan akauntabiliti kepada rakyat Palestin.
“Kami juga akan terus bekerja tanpa lelah dalam memastikan suara-suara mereka yang ditindas akan didengari dan mereka yang bertanggungjawab ke atas jenayah perang dan jenayah ke atas kemanusiaan akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Pada sidang media tersebut, MyAqsa menggariskan beberapa isu kritikal yang perlu diberi perhatian serta langkah proaktif yang perlu diambil komuniti antarbangsa seperti pembentukan Majlis Keselamatan dan Pasukan keamanan Pertubuhan Kerjasama Islam atau OIC.
Selain menggesa semua negara-negara Islam untuk memboikot dan memutuskan segala bentuk perniagaan dengan Israel, MyAqsa menyeru agar memutuskan segala kerjasama dan hubungan diplomatik dengan Israel serta memanggil semua negara yang menjadi ahli dalam Statut Rom untuk membentuk inisiatif bersama menghadapkan kes jenayah perang Israel ke ICC.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/e386727c8bc0d51c41072e442dc44479.jpg)
