Dana Kemanusiaan Palestin berjumlah RM9.2 juta berjaya dikumpulkan sepanjang pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin bermula 29 Okt hingga 3 Nov lalu membabitkan penyertaan ribuan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seluruh negara.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Minggu Solidariti Palestin diadakan untuk mendidik murid dan warga kementerian itu mengenai nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi manusia, keamanan dan sifat ihsan.
Cek cura Dana Kemanusiaan Palestin itu diserahkan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek oleh Ketua Setiausaha KPM Nik Nasarudin Mohd Zawawi pada Himpunan Solidariti Keamanan Sejagat di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Jumaat lalu.
Ia merupakan aktiviti kemuncak dan penutup Minggu Solidariti Palestin.
Acara anjuran KPM itu melibatkan 800 murid dari institusi pendidikan di bawah kementerian berkenaan, serta lebih 200 pegawai bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin serta menyokong nilai keamanan sejagat.
Antara pengisian utama acara berkenaan termasuk deklamasi sajak, persembahan lakonan dan nyanyian serta pidato kemanusiaan.
- Bernama
