WAWANCARA | Malaysia merupakan antara negara terawal yang mengguna pakai amalan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) pada 1974 untuk menilai kemampanan dan daya maju jangka panjang sesuatu projek atau pembangunan yang dicadangkan.
empat dekad selepas pelaksanaannya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang dalam proses mengkaji semula pelaksanaan EIA di Malaysia.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad percaya peraturan EIA itu "canggih" tetapi ia adalah dalam konteks zaman ia digubal.
Justeru katanya sudah tiba masa untuk kerajaan menilai situasi semasa dan isu berkaitan pelaksanaannya.
“Dunia bergerak maju. Bagaimanakah kita menjadikan akta itu relevan dengan keperluan kita hari ini?
"Itu adalah sesuatu yang perlu kita laksanakan dengan sebaik-baiknya supaya tidak ada banyak kelemahan," katanya semasa wawancara dengan Malaysiakini pada hari Rabu.
Disebabkan beberapa kelemahan yang ada pada amalan EIA, pelaksanaanya mungkin dilihat sebagai terpisah daripada realiti semasa.
Antara kelemahan yang sering dibangkitkan ialah pemaju boleh mengelak daripada mendedahkan laporan EIA mengenai rancangan mereka kepada orang awam dengan membahagikan projek utama kepada projek bersaiz sederhana.
“Kami sedang meneliti (pelaksanaan) EIA secara keseluruhan.
"Terdapat juga isu mengenai apa yang perlu didedahkan dan apa yang tidak didedahkan melalui jadual 1 dan jadual 2,” kata Nik Nazmi.
