Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bawa dunia luar ke dalam kelas, Cikgu Nazmi menang anugerah

Bagi pelajar di bandar, barangkali menulis karangan 40 perkataan untuk menceritakan pengalaman berkelah bersama keluarga di tepi pantai suatu tugasan yang mudah.

Namun, ia berbeza dengan pengalaman Muhammad Nazmi Rosli selepas sebulan dia ditugaskan mengajar di sebuah sekolah di pedalaman Sarawak.

Nazmi kemudian mendapati sebabnya bukan kerana pelajarnya lemah bahasa Inggeris.

"Ia sualan yang mudah (berkenaan perkelahan keluarga), saya ingat semua pelajar dapat tulis karangan ini. Tapi saya silap.

"Saya kemudian sedar anak-anak ini tidak berhubung dengan dunia luar. Mereka tak dapat tulis karangan tentang perkelahan kerana mereka tak pernah ke pantai," katanya.

Ia kemudian menjadi motivasi untuknya mengubah bilik darjah menjadi "pantai", dengan menggunakan kotak dan beg plastik di sekolah.

Guru bahasa Inggeris SK Long Sebangang di Lawas, Sarawak itu menceritakan kembali pengalaman tersebut dalam ucapannya setelah diumumkan sebagai pemenang Malaysia Teacher Prize 2023.

Nazmi antara lima finalis untuk anugerah itu yang dianjurkan Pemimpin GSL. Terdapat 2,135 guru di seluruh negara yang dicalonkan untuk anugerah itu.

Sebagai pemenang, dia mendapat hadiah wang tunai RM50,000. Empat finalis lain mendapat RM4,000.

Guru berusia 30 tahun ini sebelum ini menang Kempen Guru Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2019. Ketika itu dia mengajar di SK Long Sukang, juga di Lawas.

Pada 2021, Malaysiakini melaporkan berkenaan dia menjadi antara 10 finalis bagi Rise Educator Award. Dia dicalonkan oleh ibu bapa muridnya sendiri, yang perlu menempuhi perjalanan beberapa jam ke pekan terdekat untuk menghantar pencalonannya.


Ibu bapa tempuh berjam perjalanan calonkan guru untuk anugerah pendidik


Kembara di bilik darjah

Selepas mengubah bilik darjah menjadi 'pantai', Nazmi terus menggunakan kreativitinya dalam usaha memberi pendedahan kepada pelajar kepada dunia luar - yang bagi kebanyakan orang adalah perkara biasa.

"Mereka tak pernah ke kedai dobi, jadi saya buat kedai dobi guna kad manila. Mereka tak pernah ke kedai roti, jadi saya buat guna kotak dan tanah liat.

"Mereka tak pernah ke kolam renang jadi saya buat guna 200 beg plastik," katanya lagi.

Menurut Nazmi, dia juga pernah membuat simulasi stesen keretapi, kapal terbang, zoo dan malah hospital untuk murid-muridnya.

Nazmi juga memulakan Kelab Filpen ketika di SK Luagan, Lawas. Menerusi kelab itu, murid berpeluang untuk mencuba membuat filem pendek.

Filem pendek yang dihasilkan mereka, Teether dipilih ke Screamfest Horror Film Festival New Orleans di Amerika Syarikat dan Horror Unleashed Film Festival di Portugal.

Merapatkan jurang pendidikan

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang turut hadir ke anugerah hari ini berkata KPM komited untuk merapatkan jurang pendidikan di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Dia berkata tumpuan utama adalah sekolah-sekolah usang di pedalaman, dengan KPM akan membina infrastruktur baru pada tahun depan.

"Apabila kita bercakap tentang ko-kurikulum dan pembangunan karakter, ia juga termasuk pembangunan infrastruktur," katanya ketika sidang media selepas acara tersebut.

Lihat Komen
ADS