Penasihat DAP Lim Kit Siang memberi Presiden PAS Abdul Hadi Awang tempoh 48 jam untuk sama ada membuktikan atau menarik balik beberapa dakwaan terhadap diri dan partinya.
Kata dua itu dibuat 24 jam selepas anak Lim, Guan Eng, memberi 48 jam kepada ahli Parlimen PAS Siti Mastura Muhammad untuk membuktikan dakwaannya bahawa dia mempunyai pertalian dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng dan perdana menteri pertama Singapura Lee Kuan Yew.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata sekiranya Hadi gagal menjawab dalam tempoh yang ditetapkan, dia akan mempertimbangkan untuk memfailkan saman fitnah.
"Fiasco Siti Mastura telah memberi perspektif baru kepada dakwaan liar dan tidak masuk akal Presiden PAS Hadi Awang bahawa DAP dan saya adalah anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja-raja, komunis dan menyebarkan Islamofobia.
"Bagaimana mungkin pemimpin parti politik lain berbeza dengan presidennya yang boleh membuat dakwaan liar dan tidak masuk akal tanpa sedikit pun bukti?" soalnya.
Semalam, Guan Eng yang juga pengerusi DAP menafikan dia ada pertalian saudara dengan Chin Peng mahupun Lee.
Ahli Parlimen Bagan itu juga menolak dakwaan Mastura bahawa dia mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin DAP lain pemimpin DAP lain termasuk seperti Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, naib pengerusi Nga Kor Ming dan Teresa Kok dan ex officio Ngeh Koo Ham.
“Jelas ia bukan saja satu serangan peribadi tetapi ia berbaur perkauman dan hasad dengki terhadap pihak kami khususnya kepada saya dan ayah saya (Kit Siang) sungguhpun sudah bersara masih menjadi sasaran oleh ahli parlimen PAS,” katanya.
Sambil menyifatkan tindakan berkenaan sebagai permainan politik ekstremisme perkauman dan fitnah PAS yang tidak berasas, Guan Eng berkata pemimpin parti Islam itu membangkitkan isu tersebut walaupun mengetahui bahawa ia adalah tidak benar.
PAS sering menjaja naratif “komunis” terhadap DAP, selain mendakwa parti yang didominasi kaum Cina itu mengancam kedudukan orang Melayu dan Islam.
