Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibu lima anak ditemukan mati dipercayai disamun, dirogol

Seorang ibu kepada lima anak ditemukan mati dalam keadaan separuh bogel dipercayai disamun dan dirogol di kawasan semak kebun pisang di Kampung Pisang di Lahad Datu, Sabah, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Rohan Shah Ahmad berkata mangsa warga asing berusia 36 tahun dan bekerja sebagai penebar roti canai di sebuah restoran itu ditemukan dengan kesan hentakan objek tumpul di bahagian kepala dan kesan kelar oleh senjata tajam di bahagian leher.

"Berdasarkan siasatan, mangsa keluar bekerja pada jam 6.15 pagi tadi, namun selepas itu majikan menghubungi keluarga mangsa untuk mengetahui keberadaan mangsa kerana tidak sampai ke tempat kerja.

“ Keluarga mangsa yang berasa curiga, berusaha mencari mangsa di kawasan laluan rutin mangsa sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak bernyawa di kawasan semak," katanya dalam satu kenyataan di Lahad Datu, Sabah.

Rohan Syah berkata polis bahagian siasatan jenayah di Lahad Datu yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian turut menemukan kesan air mani pada bahagian kemaluan mangsa selain barang termasuk telefon bimbit dan wang tunai mangsa didapati hilang.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat dan polis sedang mengesan suspek dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan supaya membantu siasatan dengan menghubungi balai bolis terdekat atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah di IPD Lahad Datu, ASP Kharuddin Husain di talian 013-9071709.

- Bernama

Lihat Komen
ADS