Hina PM: Polis tahan seorang pekerja kilang
Seorang pekerja kilang ditahan kerana dipercayai mengeluarkan kenyataan menghina Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi aplikasi WhatsApp miliknya.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata lelaki berusia 43 tahun yang beralamat di Bandar Baru Salak Tinggi, di Sepang ditahan kira-kira 9.30 malam di Melaka semalam.
Beliau berkata lelaki itu direman hingga esok untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, seorang pemilik akaun X memaparkan dakwaan mengenai seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah melontarkan komen jelik terhadap Perdana Menteri menerusi tangkap layar aplikasi WhatsApp.
Bagaimanapun, Wan Kamarul Azran telah mengeluarkan kenyataan semalam menafikan dakwaan berkenaan yang mengatakan terdapat anggota polis di Sepang telah mengeluarkan kenyataan menghina Perdana Menteri.
Semakan sistem I-prs melalui nombor telefon yang tular dan di cawangan Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS), Bukit Aman mengesahkan individu berkenaan bukan warga kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM), katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/16e89ad6975b25b174d60c6c6a70a256.jpg)
