PAS seru ke Putrajaya pada 20 Nov, status demo esok belum jelas
Orang ramai digesa menyertai perhimpunan membantah petisyen mahkamah yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 20 November depan.
Gesaan itu dibuat oleh PAS Kedah hari ini atas alasan “satu demi satu sendi agama yang diperteguhkan dengan perundangan syariah negeri-negeri cuba diruntuhkan”.
“Kes demi kes yang berlaku ini seharusnya mengetuk pintu kesedaran dan perhatian daripada seluruh umat Islam untuk bangkit menyatakan keprihatinan dan kebimbangan terhadap perkembangan yang berlaku.
“Kita tidak rela undang-undang syariah ini disudutkan dan lama-kelamaan tenggelam hanyut ditelan arus masa,” kata Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya dalam kenyataan di Harakahdaily.
Baca: PN anjur demo bantah petisyen cabar enakmen syariah
Akhbar web PAS itu bagaimanapun tidak memberikan maklumat berkaitan siri pertama perhimpunan itu yang sepatutnya berlangsung di Kuala Terengganu esok.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man minggu lepas mengumumkan tiga tarikh perhimpunan, termasuk 18 November di Kelantan.
Setakat berita ini ditulis, Malaysiakini telah menghubungi beberapa pemimpin PAS tetapi masih belum mendapat sebarang butiran lanjut berkaitan perhimpunan esok.
Perhimpunan itu dianjurkan bagi membantah petisyen seorang peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Mereka mahu mengisytiharkan peruntukan-peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.
Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).
Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).
PANDUANKINI | Penjelasan tentang petisyen cabar enakmen syariah Kelantan
/file/1360/4261179e72a93ec19935a87784c81ae6.jpeg)
