Bahasa Melayu ketinggalan kerana globalisasi?
Tokoh pendidikan negara, Tan Sri Arshad Ayub berkata, penggunaan bahasa Melayu sudah ketinggalan kerana globalisasi yang menyebabkan bahasa Inggeris digunakan secara meluas di negara ini.
Tokoh pendidikan negara, Tan Sri Arshad Ayub berkata, penggunaan bahasa Melayu sudah ketinggalan kerana globalisasi yang menyebabkan bahasa Inggeris digunakan secara meluas di negara ini.
Beliau yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, bahasa Melayu pernah digunakan secara meluas di negara ini tetapi dengan perkembangan yang berlaku dalam negara, bahasa Inggeris menjadi bahasa nombor satu.
"Masyarakat kita kini lebih terdedah dan lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris sejajar dengan perkembangan ekonomi dan pengaruh globalisasi di seluruh dunia," katanya dalam sesi soal jawab di Seminar Legasi Tun Razak Kepada Pembangunan Negara, anjuran Akademi Pemuda Umno di ibu negara hari ini.
Seminar tersebut dirasmikan oleh anak Tun Razak, Datuk Seri Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno. Turut hadir ibu Najib, Tun Rahah Mohamed Noah, Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan beberapa menteri kabinet.
Sementara itu, Pro Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad yang hadir sama dalam sesi tersebut, berkata, rakyat Malaysia perlukan kedua-dua bahasa - Melayu dan Inggeris - sesuai dengan perkembangan sekarang.
Katanya, bahasa Melayu atau kini bahasa Malaysia perlu diperkenalkan di seluruh dunia, jika mahu ia berkembang maju seperti bahasa Inggeris.
"Kita perlu perkenalkan bahasa Melayu ke China, Amerika Syarikat dan negara lain sebagaimana berkembangnya bahasa-bahasa lain," katanya.
Dr Abdul Rahman berkata, beliau bimbang dengan situasi yang berlaku dalam penggunaan bahasa Melayu sekarang iaitu mencampuradukannya dengan bahasa lain, terutama bahasa Inggeris.
Katanya, jika terlalu banyak bahasa asing digunakan sebagai bahasa Melayu, orang Melayu menjadi tidak faham.
"Jadi kalau kita mahu bahasa kita (Melayu) terpelihara, semua pihak perlu mengangkat semula dalam sebua lapangan," katanya.
Beliau berkata, kurikulum pendidikan yang mengutamakan pembacaan dan buku tidak memberi kesan yang baik kepada pelajar pada masa depan.
Katanya, manusia bukan robot sebaliknya masyarakat perlu mempunyai nilai-nilai sebagai seorang manusia yang berguna kepada semua - agama, bangsa dan negara.

