Walaupun sudah seminggu banjir berlalu, namun ia masih meninggalkan kesan yang pahit kepada lebih 30 peniaga di tingkat bawah Kompleks Wilayah, Jalan Dang Wangi di ibu negara.

Ini kerana mereka mendakwa setakat ini tiada sebarang kerja pembersihan dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyebabkan peniaga terpaksa membersihkannya sendiri.

"Pekerja DBKL hanya datang dan membersihkan kawasan jalan raya di luar kompleks dan di dalam tiada sebarang pembersihan dilakukan," kata pemilik kedai snuker Ah Leong.

Beliau berkata, selain itu bekalan air dan bekalan elektrik juga terputus sejak Ahad lalu dan sehingga ini bekalan air belum pulih.

Beliau mendakwa, dalam masa 10 minit air naik sedalam enam kaki apabila tembok di tepi kompleks itu pecah dan menyebabkan air banjir mengalir dengan deras dan menuju ke bahagian bawah.

"Kami mengambil masa selama tiga hari untuk menyedut keluar air dari dari lantai tingkat bawah," katanya kepada wartawan malaysiakini.

Berdasarkan tinjauan, peniaga di tingkat bawah mengalami kerugian teruk kerana semua peralatan mereka rosak dan reput berada dalam air Banjir.

"Kami juga mendapati kawasan itu masih berlumpur, dan pekerja yang membersihkan sendiri kawasan tersebut," katanya.

Seorang lagi pemilik kelab malam Chakravartty, K. Rajendran berkata beliau mengalami kerugian sebanyak RM 600 000.

Beliau juga membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi dan telah ke DBKL bersama peniaga lain untuk menuntut wang pampasan.

Bagaimanapun, beliau gagal berjumpa dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hakim Borhan kerana beliau terlalu sibuk.

Sebaliknya, seorang kakitangan DBKL menyuruh peniaga membersihkan kawasan itu terlebih dahulu dan mereka akan datang melihatnya kemudian.

Manakala pemilik lima kedai alat tulis, Raja Mohamed bin M. K Mohd Ali berkata beliau mengalami kerugian sebanyak RM 350,000 kerana barangan di kedainya rosak teruk.

Beliau turut berharap agar pihak berkenaan memberi pampasan kepada peniaga terbabit untuk dijadikan modal untuk memulihkan semula perniagaannya.