Ahli perniagaan, Datuk KS Nallakaruppan mahu penyokongnya memberi beliau lebih masa untuk menentukn tindakan yang akan diambil beliau selanjutnya.

"Saya tahu mereka tidak sabar lagi untuk mengetahui apakah rancangan saya selanjutnya, tetapi saya harap mereka dapat memberi saya lebih masa untuk memikirkan perkara itu sedalam-dalamnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

"Apa juga keputusan yang bakal saya buat, ianya adalah untuk kebaikan masyarakat India. Saya yakin mereka akan menyokongnya," katanya.

Nalla bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sama ada beliau ada berbincang dengan mana-mana parti berhubung masa depan politiknya.

"Bersabarlah, saya akan membuat keputusan penting tidak lama lagi," tambahnya.

Nalla, 61, keluar meninggalkan parti pembangkang - Parti Keadilan Rakyat (PKR) - pada 25 Mei lalu, kerana mendakwa ahli-ahli keturunan India dalam parti itu telah dipinggirkan.

Beliau juga mendakwa, rakan karibnya yang juga Ketua PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempermainkannya.

"Saya merupakan sahabat Anwar sejak lebih 30 tahun, tetapi beliau tidak jujur dengan saya, terutama dalam soal pilihanraya kecil Ijok dan pertandingan bagi jawatan naib presiden," katanya.

Anwar sendiri yang membawa Nalla menyertai PKR Ogos lalu bagi menarik sokongon dari kalangan kaum India. Nalla pula mendakwa, beliau telah membawa masuk lebih 10,000 ahli baru dari kalangan kaum India, sejak menyertai parti tersebut.

Beberapa pemimpin India dalam PKR mengikuti jejak langkah Nalla meninggalkan parti tersebut, kerana mendakwa ahli-ahli dari kaum tersebut telah dipinggirkan.

Keluar beramai-ramai

Seorang daripada mereka ialah bekas timbalan ketua PKR Segambut, S Maniselvan, 38, yang memberitahu malaysiakini bahawa ramai ahli dari kalangan kaum India telah meninggalkan parti itu sebagai tanda sokongan kepada Nalla.

"Mereka bukan sahaja dari kalangan ahli-ahli yang baru menyertai parti itu kerana Nalla. Malah, mereka yang menyertai PKR sejak awal penubuhannya juga turut keluar kerana kecewa dengan layanan terhadap mereka," katanya.

Sejak dua minggu lalu, lebih 300 ahli kaum India PKR di seluruh negara dipercayai telah meninggalkan parti itu secara rasmi sebagai tanda sokongan terhadap Nalla. Lebih ramai lagi dikatakan turut meninggalkan parti itu tetapi tidak menyerahkan surat secara rasmi.

Mereka yang diketuai oleh timbalan ketua PKR Gombak, B Rajendran, mengadakan sidang akhbar pada hari Rabu untuk mengumumkan keputusan mereka meninggalkan parti itu.

"Kita tidak nampak masa depan dalam parti ini. Kita akan tunggu dan lihat apakah langkah selanjutnya, yang diambil oleh oleh Datuk Nallakaruppan," katanya.

Menurut Rajendran, ahli-ahli berkenaan telah menyertai PKR selepas Nalla memujuk mereka berbuat demikian.

Bahagian Gombak diketuai oleh Azmin Ali, yang juga naib presiden PKR.

Dan pada malam tadi (Jumaat), kira-kira 30 ahli kaum India dalam bahagian PKR Alor Gajah di Melaka, yang diketuai oleh timbalan ketuanya, KSG Kannan, turut meninggalkan parti itu.

"Ahli kaum India kecewa dengan PKR. Kita tidak ada masa depan dalam PKR dan kita tidak mempunyai keyakinan terhadap pucuk pimpinan sekarang," kata Kannan, 46, yang menyertai parti sejak 2003.

"Kita kini menunggu Datuk Nallakaruppan memberitahu kita bagaimana kita dapat berkhidmat kepada masyarakat," katanya.