Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Jika BN menang di Kemaman, kerajaan negeri PAS akan berkhidmat lebih baik'

PRK Kemaman | Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata sekiranya BN yang diwakilinya menang 2 Dis nanti, PAS akan berasa terancam dan seterusnya akan memberi khidmat lebih baik kepada seluruh rakyat di negeri itu.

Bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusia 66 tahun itu berkata kemenangan BN penting untuk memberi impak dan kesedaran kepada PAS yang ketika ini mentadbir kerajaan negeri tanpa wakil pembangkang.

“Sekiranya BN menang, kerajaan negeri di bawah PAS akan terancam. Jadi mereka akan buat (berkhidmat) lebih baik kepada pengundinya, apabila pengundi dapat yang (khidmat) terbaik bermakna rakyat mendapat manfaat.

“Berikan Kemaman kepada BN, kita bukan saja akan dapat perhatian daripada kerajaan pusat. Rakyat akan dapat limpahan nikmat, pastinya kalau saya jadi kerajaan negeri kita tidak boleh duduk selesa dengan kedudukan sedia ada, kena kerja lebih kuat lagi.

“Jadi manfaat kepada kepada siapa? Rakyat. Maka pengundi di Kemanan ini kritikal untuk pastikan hala tuju terbaik. Jika BN menang di Kemaman, keseluruhan masyarakat di Terengganu akan dapat manfaat yang besar. Ini yang kita kata limpahan nikmat, kesannya,” katanya dalam temubual bersama Malaysiakini di Chukai, hari ini.

Penampilan Raja Mohamed Affandi dalam PRK Kemaman kali ini mencuri tumpuan apabila muncul sebagai bekas pegawai tertinggi ATM yang terjun ke arena politik.

Mengulas mengenai keputusan diambil itu, dia berkata penglibatannya tetap bukan sebagai seorang ahli politik.

Sebaliknya dia meletakkan dirinya sebagai seorang negarawan tentera (soldier stateman).

“Ya ada yang bertanya kenapa saya terjun ke arena politik sedangkan saya bukan ahli politik, ya saya bukan ahli politik.

“Ini sesuatu yang perlu diingatkan, saya bukan ahli politik, saya seorang pegawai tentera. Dalam hal ini saya anggap diri sebagai sebagai soldier stateman,” ujarnya.

Dia akan berdepan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dari Perikatan Nasional (PN).

Kata Raja Mohamed Affandi, dia mengambil langkah dan kesanggupan untuk menjadi calon supaya tidak ada penyesalan dalam hidupnya apabila kesempatan itu wujud.

“Saya buat ini (jadi calon) supaya tidak ada penyesalan dalam hidup saya, sekiranya saya tolak kemudian ia berlaku dengan cara lain. Sedangkan saya ada kesempatan untuk mengubah keadaan tersebut, tetapi saya tidak sanggup untuk cuba mengubahnya.

“Apa erti kehidupan kita kalau jadi macam itu, tak ada makna hidup. Maka saya masuk (pilihan raya), apabila saya masuk ia mungkin akan jadi pencetus kepada yang (orang) lain. Buka ruang kepada pegawai perkhidmatan tertinggi dalam kerajaan yang ada, dengan pengalaman yang mereka ada mungkin boleh duduk satu penggal sebagai wakil rakyat misalnya.

“Terus sambung berkhidmat dan membantu kepada kebaikan negara, sebab selama ini pun kita bekerja, saya sebagai tentera hanya untuk memberi kesejahteraan kepada negara, kalau itu yang kita pegang asasnya sampai bila-bila pun kita pegang.

“Bukannya apabila pencen kita buang perkara itu. Itu pegangan saya, orang nak kata apa itu saya tak peduli,” tegasnya.

Ditanya proses kempen yang dilaluinya sejak Sabtu lalu katanya, gerak kerja jenteranya berjalan lancar dalam usaha merampas kembali bekas kubu kuat BN itu.

Malah dia mendengar banyak luahan perasan daripada masyarakat parlimen itu yang merungut dengan pelbagai permasalahan dihadapi mereka.

“Apabila kita ziarah kawasan di setiap tempat itu mesti ada keluhan dan penduduk meluahkan perasaan mereka. Tetapk tidak ambil kesempatan berpolitik dengan rungutan rakyat, sebaliknya kita take noted.

“Saya beritahu kita tidak janjikan bulan bintang, tetapi kita ambil perhatian. Saya tak nak beri harapan secara berlebihan. Tetapi sekiranya saya diberi mandat selepas 2 Dis nanti, saya akan bawa dan ketengahkan kepada pihak-pihak berkenaan termasuk ke Parlimen berkait perkara yang dibangkitkan,” kata Raja Mohamed Affandi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS