Sebuah unit khas perlu diwujudkan bagi membolehkan pekerja, termasuk pembantu rumah, membuat aduan terhadap majikan mereka, Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Hamdan Adnan.

Menurutnya, antara sebab pembantu rumah lari dari majikan mereka ialah kerana menerima layanan buruk dan zalim, kerja banyak, gaji tidak naik dan rindu kepada keluarga.

"Untuk mengatasi masalah ini, kita harus mengkaji peraturan di negara kita agar pekerja boleh membuat aduan dengan cepat.

"Selain itu, ejen juga harus bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja dan sikap lepas tangan sesetengah pihak mencemarkan nama Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi malaysiakini hari ini bagi mengulas kejadian dua pembantu rumah Indonesia, Samerin dan Ceriyati melarikan diri kerana tidak tahan didera majikan.

Dalam kejadian pertama, Samerin bertindak nekad terjun dari tingkat 15

kondominum di Sentul Indah dekat ibu negara menggunakan kain dan pakaian yang disambung-sambung kerana tidak tahan didera sejak empat bulan llau.

Manakala Ceriyati melarikan diri dari rumah majikannya di Sungai Buloh kerana mendakwa didera majikan.

Hamdan berkata, majikan yang mendera pembantu rumah ini harus dikenakan hukuman yang berat seperti penjara dan denda.

"Kalau boleh mereka juga harus disebat dengan rotan, agar mereka rasakan kesakitan yang dialami oleh pembantu yang dideranya," katanya.

Hak asasi

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Yap Swee Seng berkata, faktor yang menyebabkan kejadian tersebut kerana pembantu tidak pempunyai hak asasi seperti pekerja lain.

Pembantu rumah, katanya tidak mempunyi kebebasan untuk keluar dan berhubung dengan orang lain untuk berkongsi masalah yang dihadapi.

"Suasana yang tertutup dan tiada interaksi ini menyebabkan penyeksaan ke atas mereka tidak berpeluang diketahui oleh orang ramai," katanya.

Selain itu, kata Yap, terdapat juga majikan atau agensi yang bertindak menyimpan pasport pembantu rumah, menyebabkan mereka terpaksa menahan segala penderaan.

Menurutnya, masalah ini dapat di atasi sekiranya pembantu rumah juga diberi hak asasi seperti pekerja lain seperti di beri cuti sehari dan untuk berjumpa dengan kesatuan mereka sekiranya ada masalah dengan majikan.

"Majikan yang terlibat dengan penderaan ini harus didakwa di bawah kesalahan jenayah.

Bagaimanapun banyak kes yang tidak dilaporkan kerana pembantu takut kepada majikannya," katanya.