Kerajaan tidak gopoh laksana agenda reformasi - Anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan tergopoh-gapah dalam melaksanakan agenda reformasi yang dijanjikan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Dalam ucapan dasar di Kongres PKR 2023 semalam, Presiden PKR itu berkata dia mengambil pendekatan tersebut daripada sejarah negara dunia yang lalu.
"Walaupun ada golongan elit berkata kita perlahan dalam progres reformasi. Tapi percayalah belajar daripada pengalaman yang lalu.
"Kalau kita gopoh, baik dalam soal pelaksanaan Islam atau dalam pelaksanaan agenda reformasi ini, kita akan ditolak rakyat.
"Pengalaman lalu mesti mengajar kita," katanya dalam ucapan dasar sulung selaku perdana menteri di hadapan 2,734 perwakilan dan 1,500 pemerhati di PICC, Putrajaya, malam tadi.
Anwar turut menyentuh Revolusi Perancis sebagai contoh bagaimana segelintir golongan menuntut perubahan segera mengakibatkan keadaan negara tersebut bertambah buruk.
"Revolusi Perancis pada tahun 1789-1799, dengan slogan gagah “liberté, égalité, fraternité”, namun dengan kemunculan kelompok elit Jacobin yang tassub dengan ideologi itu telah secara gopoh mengambil tindakan yang rakus untuk menerjemahkan cita-cita mereka dan mengenepikan masalah rakyat.
"Keghairahan dalam segelintir elit menuntut perubahan segera mengakibatkan Robespierre turut diguling dan dipancung.
"Malah terdapat kajian yang menunjukkan umpamanya 10 tahun selepas revolusi, keadaan petani di Perancis itu lebih teruk ketimbang sebelumnya di bawah pemerintahan monarki.
“Maka, kita harus berhemah dan bijaksana mengukur keupayaan kita dan penerimaan majoriti rakyat," katanya.

Sebelum ini, beberapa NGO, ahli politik, aktivis dan pemerhati politik berpendapat Kerajaan Madani pimpinan Anwar perlahan dalam melaksanakan janji reformasi yang telah dibuat Pakatan Harapan (PH) selama ini.
Terdahulu, Anwar mengakui ketika kerajaan ditubuhkan menghadapi sedikit kesukaran dalam mengekalkan kestabilan.
"Kini satu tahun berlalu. Dengan pengalaman kerajaan terumbang-ambing di tahun-tahun kebelakangan, dan percubaan “tebuk atap” berterusan.
"Ada kalangan yang sangsi akan keupayaan kerajaan bertahan. Namun, kesetiaan rakan-rakan jelas terbukti manakala mereka menolak tegas segala percubaan Perikatan Nasional (PN) meruntuh Kerajaan Perpaduan.
"Pimpinan parti dan rakan jemaah menteri memilih untuk memastikan agar kerajaan kekal inklusif dengan induk Melayu-Bumiputera dan mewakili semua kaum dan wilayah.
"Tumpuan utama kita adalah untuk memulihkan ekonomi melalui tata kelola yang baik dan dasar ekonomi yang meyakinkan," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/bf387c881b4796ce1a4e06cabc551b52.jpg)
