'Kongres PKR tumpu isu rakyat, Perhimpunan Bersatu fokus soal presiden'
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata kongres PKR 2023 yang membuka tirai semalam akan memfokuskan kepada isu negara dan rakyat.
Saifuddin dalam ucapan pembukaannya membandingkan kongres PKR dengan Perhimpunan Agung Bersatu yang lebih menumpukan isu jawatan presiden yang disandang Muhyiddin Yassin.
"Kongres tahunan PKR diadakan berkebetulan dengan perhimpunan agung parti Bersatu.
"Perhimpunan agung parti Bersatu ucapan dasar presidennya umum letak jawatan nak berundur. Pembahas kemudiannya minta jangan berundur.
"Majlis tertinggi buat mesyuarat khas tolak. Jangan berundur. Penutup hari ini (semalam) presiden umum tak jadi berundur.
“Isu rakyat, isu ekonomi, isu antarabangsa tak jadi tumpuan," katanya di PICC, Putrajaya, malam tadi.
Namun kata Saifuddin kongres PKR tidak boleh mengambil pendirian yang sama seperti itu.
Saifuddin turut berpesan kepada para perwakilan agar mengutarakan isu penting seperti tatakelola serta keterlusan pentadbiran kerajaan.
"Kongres PKR mesti bicara soal kestabilan politik, merancakkan ekonomi, memberi fokus tumpuan kebajikan dan keadilan rakyat.
"Yang paling penting adalah mengamalkan tatakelola pemerintahan.
“Kongres ini ada dua signifikan, kita di ambang menjengah usia 25 tahun pada April tahun depan.
"Hari ini juga 25 Nov adalah genap setahun Anwar menjadi PM dan setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/05/40348116a7d9513079567bc6180d4aa2.jpg)
