Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR Johor: Tubuh jawatankuasa perhati guru tak sokong kerajaan

PKR Johor pada kongres nasional parti itu hari ini mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) membentuk jawatankuasa khas bagi memantau guru yang tidak menyokong kerajaan.

Perwakilan dari Johor, Haryati Abu Nasir berkata terdapat trend membimbangkan dalam kalangan penjawat awam yang secara terbuka menunjukkan penentangan terhadap kerajaan.

"Kami mohon KPM, ada baiknya diwujudkan jawatankuasa pemerhati kerana ada trend membimbangkan di kalangan kakitangan yang tak menyebelahi kerajaan perpaduan," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden PKR pada kongres yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Haryati menjelaskan ia hanyalah cadangan daripada PKR Johor berikutan terdapat kebimbangan ada di kalangan penjawat awam yang menentang kerajaan Madani.

Menurutnya jawatankuasa yang dicadangkan adalah untuk memantau dan mengenal pasti isu yang menyebabkan kumpulan itu menentang kerajaan.

"Ia untuk memerhati, membendung dan mengkaji. Mungkin ada benda-benda yang boleh kita perbetulkan, penambahbaikan.

"Maksudnya secara keseluruhanlah. Tadi saya sentuh pendidikan sebab saya (bahas) usul pendidikan.

"Sebenarnya kakitangan awam masih ada belum menyokong.

"Kalau boleh nak mereka beri sokongan sewajarnya, sebab mereka dalam penjawat awam, by right kenalah sokong," katanya.

Lihat Komen
ADS