Kekalutan isu presiden Bersatu yang menggemparkan seketika sebelum mandom tiba-tiba hanya menunjukkan parti itu sangat lemah, kata Amanah Perak.

Menurut ketua komunikasinya Azhar Rahman ia menjadi lebih ketara apabila Muhyiddin Yassin memetik nama isterinya untuk memberikan justifikasi dia membuat pusingan U.

Kata Azhar, dengan tindakan sebegitu menunjukkan Muhyiddin dan pemimpin kanan Bersatu - dan parti itu secara keseluruhan - tiada kredibiliti untuk memimpin rakyat negara ini.

"Muhyiddin membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan presiden, namun menukar fikiran selepas dipujuk isterinya menunjukkan dia mudah dipengaruhi.

"Dari sisi lain pula ia mencadangkan bahawa apa yang berlaku tidak lebih sandiwara dirancang pemimpin kanan Bersatu untuk mencuri perhatian orang ramai terhadap mereka yang semakin ditolak," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Kelmarin Muhyiddin mengejutkan perwakilan dan pemerhati perhimpunan agung tahunan partinya apabila mengumumkan tidak mahu mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan Bersatu akan datang.

Bagaimanapun sehari kemudian dia mengubah keputusan tersebut.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata dia membuat keputusan tersebut berikutan permintaan isterinya, Noorainee Abdul Rahman, agar dia memegang jawatan presiden itu sekurang-kurangnya satu penggal lagi.

"Apa isteri saya kata: stay another term (kekal satu penggal lagi).

"Saya kata, yang okey yang, I will stay for the last term (Saya akan kekal buat penggal terakhir).

"Kemudian dia jawab, alhamdulillah. Isteri saya kata thank you, this is for the nation, abah must go on (Terima kasih, ini untuk negara, abah kena teruskan)," kata Muhyiddin.

Azhar berkata apa yang dipamerkan oleh Bersatu semasa perhimpunan tersebut juga menampakkan parti itu begitu sukar dan bimbang untuk membebaskan diri daripada 'naungan' Muhyiddin.

Dia yang juga Exco Pemuda Amanah Nasional berkata, Bersatu sedar untuk mengekalkan pengaruh khususnya dalam PN, sosok Muhyiddin perlu dikekalkan.

"Ia sekali gus mengisyaratkan bahawa parti itu ketandusan pemimpin pelapis yang berwibawa.

"Mereka juga bimbang tanpa Muhyiddin, PAS akan mendomimasi PN sekali gus membawa arah tuju serta agenda lain," katanya lagi.