mk-logo
Berita
Runtuhan gudang: Dua pekerja Bangladesh kritikal, empat masih terperangkap
Diterbitkan:  Nov 29, 2023 3:45 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Dua pekerja pembinaan warga Bangladesh yang cedera dalam runtuhan struktur gudang logistik dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas malam tadi dilaporkan dalam keadaan kritikal dan tidak sedar diri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi berkata dua lelaki berusia 20-an dan 30-an itu kini menerima rawatan lanjut di bawah pemantauan pasukan perubatan di Jabatan Ortopedik dan Pembedahan Hospital Pulau Pinang (HPP) di George Town.

"Berdasarkan maklumat daripada doktor di HPP, kedua-dua lelaki itu masih menerima rawatan lanjut dan rapi daripada pasukan perubatan di hospital," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Difahamkan kedua-dua lelaki itu mengalami kecederaan parah hampir di seluruh badan termasuk patah di beberapa bahagian badan akibat dihempap runtuhan itu.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Jabatan Perubatan Forensik HPP mendapati beberapa individu warga Bangladesh berada di kawasan yang kini menempatkan tiga mayat mangsa runtuhan itu.

Seorang lelaki Foridul Subahan, 35, yang ditemui di HPP, berkata beliau mengetahui berita berhubung kejadian itu daripada rakannya yang bekerja di tapak pembinaan runtuhan itu, yang memberitahunya bahawa seorang daripada mangsa yang maut adalah dari kampung mereka di Bangladesh.

Foridul berkata walaupun tidak mengenali mangsa, tetapi dia tetap hadir di Jabatan Perubatan Forensik HPP bagi mengetahui perkembangan atas semangat rakan senegara.

"Saya kerja di sini (Pulau Pinang) lebih 10 tahun dan bila kawan telefon beritahu kata ada rakan sekampung di Syadabas, Bangladesh yang bekerja di sini terlibat dalam kemalangan (runtuhan) dan meninggal dunia, saya terus datang ke hospital.

"Kami di sini (warga Bangladesh) walaupun tidak kenal satu sama lain tetapi jika ada kematian membabitkan orang Bangladesh, memang kami akan datang cuba membantu kerana ada di kalangan mereka tiada duit untuk bawa jenazah balik ke sana, jadi kami (di sini) bantu buat kutipan untuk bawa (jenazah) balik," katanya.

Dalam kejadian yang dilapor pada 9.58 malam tadi, tiga pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut selepas gudang logistik yang dalam pembinaan itu runtuh.

Operasi mencari dan menyelamat masih dilakukan oleh pihak bomba dan penyelamat dibantu agensi lain termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mengesan empat lagi mangsa yang dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS