Israel dan Hamas hari ini bersetuju melanjutkan pemberhentian perang selama sehari lagi.

Agensi Anadolu memetik jurucakap Kementerian Luar Qatar Majid Ansari sebagai berkata, persetujuan dicapai enam minit sebelum perjanjian pemberhentian perang selama enam hari sebelum ini tamat.

Gencatan senjata kali ini juga adalah mengikut syarat yang sama.

Persetujuan mengenai lanjutan itu dicapai menerusi rundingan membabitkan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat.

Rundingan dilaporkan masih diteruskan bagi mencapai gencatan senjata yang berkekalan di wilayah berkenaan.

Sementara itu, tentera Israel, dalam kenyataan berkata pemberhentian perang akan berterusan selagi kumpulan pengantara berusaha membebaskan lebih ramai tebusan sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin di Israel.

"Susulan usaha pengantara untuk meneruskan proses membebaskan tebusan tertakluk kepada terma rangka kerja, pemberhentian perang akan diteruskan sehari lagi," menurut kenyataan Israel.

Gencatan sebelum ini dikatakan membawa kelegaan kepada penduduk Gaza yang menghadapi pengeboman bertubi-tubi sejak Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu. 

Media tempatan melaporkan Hamas, yang membebaskan 16 tebusan sebagai pertukaran untuk 30 tahanan Palestin semalam, dalam kenyataan, berkata  pemberhentian perang akan diteruskan untuk hari ketujuh.

Sebelum ini, kumpulan itu berkata Israel enggan menerima tujuh lagi wanita dan kanak-kanak serta mayat tiga tebusan lain sebagai pertukaran untuk melanjutkan gencatan senjata.

Kedua-dua pihak berkata mereka bersedia untuk meneruskan pertempuran, malah Hamas sudah mengarahkan tenteranya bersiap sedia sebelum persetujuan dicapai.