Paling Popular
Terkini

PRK KEMAMAN | Pengundi Kemaman keluar mengundi hari ini untuk memilih ahli parlimen baru.

Ini merupakan kali ketiga pengundi Kemaman keluar mengundi sejak November tahun lalu. Pilihan raya kecil (PRK) kali ini diadakan selepas Che Alias Hamid dari Perikatan Nasional (PN) kehilangan kerusinya susulan petisyen pilihan raya.

Saingan kali ini akan menyaksikan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden PAS mempertahankan kerusi PN menentang Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dari BN, yang merupakan bekas panglima angkatan tentera Malaysia.

Ikuti laporan langsung dan kiraan tidak rasmi di bawah.


Samsuri sedia pertimbang jika diminta jadi PM

10.20 malam: Ahmad Samsuri Mokhtar yang akan menjadi ahli parlimen Kemaman yang baru berkata dia tidak pernah memendam cita-cita untuk menjadi perdana menteri.

Namun, tambahnya, dia sedia mempertimbangkannya sekiranya diminta suatu hari nanti.

"Tidak menjadi objektif saya menyertai politik untuk menjawat jawatan yang begitu tinggi.

"Walaupun begitu sekiranya di suatu masa akan datang diberikan amanah oleh parti dan juga rakyat, saya akan pertimbangkan perkara itu," katanya.


RASMI: Samsuri menang dengan majoriti lebih 37,000 undi

10:10 malam - Calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar secara rasmi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Kemaman Ahmad Farhan Abdul Wahab di pusat penjumlahan undi di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, Kemaman, malam ini.

Ahmad Samsuri berjaya meraih 64,998 undi, manakala Raja Mohamed Affandi mendapat 27,778 undi sekali gus merekodkan majoriti 37, 220.

Sebanyak 428 undi rosak dan 35 kertas undi tidak dikembalikan.

Peratusan keluar mengundi adalah 65.76 peratus.


Samsuri: Kemenangan di Kemaman buka pintu ke Putrajaya

9.50 malam: Penyokong PN yang ceria di Arena Square diminta untuk berarak bersama calon ahli parlimen Kemaman mereka, Ahamad Samsuri Mokthar menuju ke pusat penjumlahan undir Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Terdahulu dalam ucapannya, Samsuri mengucapkan terima kasih kepada penyokong parti yang berkempen untuknya dan berkata pengorbanan mereka menandakan harapan baru bagi parti mereka.

"Apa yang kita hadapi hari ini, dengan majoriti yang begitu tinggi, adalah hasil kerja daripada tuan-tuan sekalian. Ini merupakan satu game changer, membuka pintu bagi kita menuju ke Putrajaya," katanya.

Pemimpin Bersatu Terengganu Razali Idris pula berkata kemenangan PN di Kemaman akan memberi isyarat kepada Putrajaya.

"Ini adalah satu isyarat kepada Putrajaya. Besok kita akan ke Putrajaya," katanya.


9.00 malam: Penjumlahan undi dibuat di Majlis Perbandaran Kemaman dan dijangka mengambil masa sejam lagi sebelum keputusan rasmi diumumkan.

Sementara itu, hadirin di Arena Square meningkat kepada kira-kira 3,000 orang dan suasananya begitu meriah apabila setiap pengumuman keputusan tidak rasmi disambut dengan sorakan.


8.30 malam: Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan tahniah kepada PAS atas kemenangan mereka.

Dia berkata kemenangan PN tidak mengubah kerajaan perpaduan yang masih mempunyai 152 ahli parlimen manakala pembangkang kekal dengan 69 ahli parlimen.

"Sekarang boleh fokus segala usaha membela kebajikan rakyat dan memacu kembali ekonomi negara.

"Buat semua pengundi setia BN, terima kasih banyak kerana masih meyakini perjuangan ini," tulisnya di laman Facebooknya.

Dia menggesa penyokong BN supaya tidak terlalu kecewa dan meneruskan perjuangan.


Samsuri dijulang sebagai 'calon PM' PAS

8.25 malam: Pengacara majlis di Arena Square berulang kali merujuk Ahmad Samsuri sebagai calon perdana menteri untuk PAS.

Ahmad Samuri, 53, kini menggalas jawatan menteri besar Terengganu untuk penggal kedua.

Berasal dari Besut, Samsuri, mempunyai PhD dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa. Dia pernah menjadi pensyarah universiti dan menjadi terkenal apabila berkhidmat sebagai setiausaha politik Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 2008 ketika berusia 38 tahun.

Dikenali dalam kalangan PAS sebagai "Dr Sam", dia menyertai jawatankuasa PAS pusat pada 2009 dan dipilih sebagai naib presiden PAS pada 2019.


TAK RASMI: PN menang besar di Kemaman

8.10 malam: Berdasarkan pengiraan Malaysiakini menggunakan angka tak rasmi, Ahmad Samsuri Mokhtar dari PN telah memenangi pilihan raya kecil Kemaman.

Dengan anggaran peratusan keluar mengundi sebanyak 70 peratus, pengiraan tidak rasmi menunjukkan bahawa Ahmad Samsuri sudah jauh mendahului pencabarnya.

Ini berkemungkinan merupakan kemenangan terbesar PN di Kemaman dengan bahagian undi lebih 70 peratus, meningkatkan prestasinya pada 2022 dan 2018.


8:00 malam: Penyokong Perikatan Nasional mula membajiri Arena Square, di Chukai, bagi mengikuti perkembangan keputusan PRK Kemaman.

Mereka mula mengikuti keputusan tak rasmi yang dipaparkan melalui skrin besar.

Pengacara majlis turut membuat pengumuman dari semasa ke semasa sambil disusuli laungan takbir.

Turut kelihatan Pengerusi Bersatu Terengganu Razali Idris dan Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor.


7.50 malam: Ahmad Samsuri Mokhtar dari PN menunjukkan tanda akan meraih kemenangan besar selepas lebih separuh undi dikira.

Setakat laporan ini ditulis, PN telah memperoleh 36,115 undi berbanding BN 16,022 undi. Perkongsian undi PN pada ketika ini hampir 70 peratus.

Pada pukul 4 petang, Suruhanjaya Pilihan Raya menganggarkan 60 peratus pengundi keluar mengundi.


7.15 malam: Terdapat 141,790 pengundi berdaftar dalam parlimen Kemaman yang seterusnya dibahagikan kepada empat DUN iaitu Kijal, Cukai, Air Putih dan Kemasik.

Semasa pilihan raya negeri pada 12 Ogos, PN mengekalkan Cukai, Air Putih dan Kemasik dengan menang besar dan merampas Kijal daripada BN. Kijal pernah menjadi kubu Ketua Umno Terengganu Ahmad Said.

Justeru, PN merupakan calon pilihan dalam saingan kali ini.


7.00 malam: Proses penjumlahan undi sedang dijalankan. PN akan berhimpun di Arena Square di Chukai manakala BN dijangka berhimpun di ibu pejabat Umno bahagian Kemaman.

Pusat pengiraan rasmi terletak di Majlis Perbandaran Kemaman.

[Laporan ini dikemas kini dengan perkembangan terbaru pada perenggan atas].

Lihat Komen
ADS