Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syahredzan saran Dr Mahathir cermin diri dahulu

Dr Mahathir Mohamad perlu “mencerminkan diri terlebih dahulu" sebelum mendakwa sokongan orang Melayu kepada Umno semakin merosot kerana bersekongkol dengan DAP, kata seorang ahli parlimen PH.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kekalahan calon BN kepada PAS pada pilihanraya kecil Kemaman, 2 Dis lalu.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan itu turut menyarankan agar Mahathir menjawab persoalan yang sama berkaitan parti Pejuang yang pernah diterajuinya.

"Daripada mengulas tentang (kemerosotan) sokongan orang Melayu kepada Umno, lebih baik Tun Mahathir cermin diri dahulu mengapa partinya sendiri semasa PRU-15 tidak mendapat sokongan orang Melayu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, Syahredzan memberitahu terdapat banyak faktor yang menyumbang kekalahan calon BN kepada PAS, antaranya, Kemaman sememangnya merupakan kubu kuat PAS.

Menurutnya, Umno masih mendapat sokongan kuat pengundi Melayu terutama di negeri-negeri selatan seperti Negeri Sembilan dan Johor.

"Ada banyak faktor mengapa BN kalah di Kemaman, antaranya, ia merupakan kubu kuat PAS, tapi di tempat yang sokongan kepada Umno masih kuat seperti di Negeri Sembilan dan Johor, mereka masih mendapat sokongan.

"Calon kerajaan Perpaduan masih boleh menang di tempat yang mereka kuat, seperti di Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai," tambahnya.

Mesej dari Kemaman

Dia seterusnya mencadangkan agar satu ‘post mortem’ dibuat mengenai kekalahan di Kemaman, namun mahu analisis dan ulasan terhadap perkara itu secara adil.

"Walaupun kerajaan Perpaduan wajar buat ‘post mortem’ mengenai kekalahan di Kemaman, kita juga harus adil dalam membuat analisis dan ulasan," katanya.

Semalam, Mahathir mendakwa keputusan PRK Kemaman itu menunjukkan pengundi Melayu tidak lagi memberi sokongan kepada Umno selepas parti berkenaan menjalin kerjasama bersama DAP dalam kerajaan perpaduan.

Selain itu, bekas perdana menteri ke-4 dan ke-7 itu turut mendakwa Umno yang dianggap 'parti keramat' orang Melayu bakal terhapus pada PRU-16 dengan menyatakan bahawa itulah 'mesej dari Kemaman'.

Trend kaitkan DAP

Kata Syahredzan, mengaitkan DAP kepada semua perkara buruk yang berlaku kepada PH adalah satu 'trend' yang sering dipakai PN dan Mahathir.

"Namun, saya tidak mahu ‘second guess’ niat Tun (Mahathir) kenapa dikaitkannya (kekalahan Umno) dengan DAP, tetapi ini memang ‘trend’ PN dan Tun Mahathir, mutakhir ini," katanya.

Manakala, dalam PRU-15 pula, Pejuang mencatatkan prestasi terburuk apabila seramai 67 calon hilang wang deposit mereka, termasuk Mahathir dan anaknya, Mukhriz.

Selepas prestasi buruk parti itu, pada 16 Dis 2022, Mahathir meletakkan jawatan sebagai pengerusi Pejuang sebelum keluar daripada parti tersebut bersama beberapa lagi anggotanya, awal Februari tahun 2023.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS