K'jaan tubuh JK kaji kompetensi DUN gubal undang-undang syariah
Kerajaan mengumumkan telah membentuk jawatankuasa khas untuk mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menggubal undang-undang syariah.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar berkata jawatankuasa itu juga akan mengkaji bidang kuasa mahkamah syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Penubuhan jawatankuasa khas ini merupakan salah satu usaha dan komitmen Kerajaan untuk menyelesaikan isu konflik bidang kuasa antara Persekutuan dengan Negeri demi memartabatkan dan memperkasa perundangan syariah dan sistem kehakiman syariah di negara ini," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu Bernama melaporkan, Mohd Na’im dalam sidang media kemudiannya berkata, Jawatankuasa Khas itu akan mengadakan libat urus dengan majlis agama Islam negeri-negeri bagi mendapatkan pandangan mereka.
Syor-syor berkenaan akan dikemukakan ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan seterusnya mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja.
"Jawatankuasa Khas ini akan melihat dan memperhalusi semua perkara melibatkan pertindihan antara mahkamah syariah dan sivil termasuk isu melibatkan pertukaran agama, harta, tuntutan hadhanah, wasiat dan sebagainya," katanya.
Pada masa ini, undang-undang syariah berada di bawah bidang kuasa negeri, manakala kerajaan persekutuan hanya memiliki bidang kuasa berkaitan syariah di wilayah persekutuan.
Bagaimanapun, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) mengehadkan hukuman bagi kesalahan syariah, yang mesti dipatuhi oleh semua negeri.
Pada 2021, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa negeri-negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal hukuman syariah ke atas perkara-perkara yang telah diputuskan di bawah undang-undang persekutuan.
Selain itu satu lagi kes berhubung cabaran terhadap enakmen mahkamah syariah turut dibawa ke mahkamah persekutuan.
Na'im mengumumkan jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara, Zaki Azmi dan akan dianggotai bekas hakim mahkamah persekutuan Mohd Zawawi Salleh; anggota Majlis Agama Islam Selangor, Salehuddin Saidin dan ketua hakim Syarie Melaka, Nadzri Abdul Rahman.
Ia turut diangotai Ketua Bahagian, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara, Anas Ahmad Zakie; Timbalan Ketua Bahagian Guaman, Shamsul Bolhassan, dan Ketua Unit I, Unit Penyelidikan Perlembagaan, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Peguam Negara, Azirul Liza Abdullah.
Turut menganggotai jawatankuasa itu Dekan/Profesor, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Farid Sufian Shuaib; Profesor Madya, Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa UIAM, Prof Madya Wan Ahmad Fauzi Hashim; Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang dan peguam syarie, Zulqarnain Lukman.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/11/9da2199d069676b1c40eed01d07ed0cb.jpg)
