Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS tak pernah isytihar bermusuh dengan Umno, kata Hashim
Diterbitkan:  Dec 8, 2023 9:58 AM
Dikemaskini: 1:58 AM

PAS menjangkakan hayat Umno boleh berakhir apabila PRU ke-16 dilangsungkan nanti.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata dia meramalkan Umno terkubur kerana ahli dan penyokong mereka didakwanya menolak kerjasama dengan DAP.

Pun begitu Hashim berkata Umno masih berpeluang diselamatkan jika parti itu kembali bekerjasama dengan PAS dan PN atas dasar perpaduan ummah.

“Majoriti akar umbi dan penyokong Umno tidak sehaluan dengan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

“Ramai pemimpin parti juga tidak berani menyuarakan pendapat atau menentang Zahid dalam hal berkaitan parti,” kata Hashim dalam satu temu bual bersama Utusan Online.

Jelasnya, bantahan terhadap Umno diterjemahkan dalam kegagalan Umno mencatat kemenangan yang diharapkan dalam enam pilihan raya negeri, selain pilihan raya kecil di Kemaman yang berakhir baru-baru ini.

“Jika kepemimpinan Umno terus bawa cara sekarang, tidak mustahil PRU ke-16, Umno akan terus terkubur.

“Kami di dalam PAS tidak pernah mengisytihar musuh dengan Umno dan bila-bila masa sahaja mereka boleh bersama dalam penyatuan ummah,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu terbuka untuk menjalinkan semula kerjasama dengan Umno - dengan syarat keputusan itu dibuat melalui platform PN, yang turut dianggotai Bersatu.

Ahmad Zahid kemudian secara terang-terangan menolak idea itu dan menggesa PAS supaya tidak "bermimpi" kerana Umno masih belum bersedia untuk menjalin semula kerjasama berkenaan.

Kata Hashim sekiranya Umno memutuskan untuk bekerjasama dengan PAS, sebarang "formula" kerjasama boleh difikirkan kemudian atas nama perpaduan ummah.

"Setiap parti dalam gabungan mempunyai formula mereka untuk menghadapi pilihan raya. Tetapi perpaduan ummah tetap menjadi agenda utama," katanya.

Hashim berkata perpaduan ummah akan diperkukuh jika Umno dan PAS bekerjasama, malah kedua-dua parti itu berpeluang untuk menembusi kubu DAP dan merampas 40 kerusi milik parti itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS