Pesuruhjaya PAS Sabah, Aliakbar Gulasan, wajar berundur dari jawatannya sebagai salah seorang Adun lantikan di negeri itu ekoran mengecam pegawai kanan dalam kerajaan baru-baru ini.

Setiausaha politik kepada Ahmad Zahid Hamidi, Jamal Nerubi, berkata pemimpin kanan PAS itu berada dalam sebuah kerajaan negeri yang menyokong Putrajaya.

Justeru, kata Jamal, sebarang isu berbangkit sepatutnya boleh disuarakan melalui saluran yang sepatutnya, bukan membuat kecaman secara terbuka.

"Kenyataan beliau adalah tidak bertanggungjawab, cuai dan boleh mengelirukan pandangan rakyat kepada kerajaan perpaduan.

“Sebagai Adun lantikan di dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH, beliau mempunyai akses untuk boleh memohon pencerahan dan penerangan daripada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Aliakbar mengkritik Shamsul Iskandar semasa merasmikan program Outreach Paguguyuan ke-13 di Keningau kerana didakwa membuat kenyataan politik.

Aliakbar mendakwa setiausaha politik kanan perdana menteri itu menyelar PAS kerana menggunakan sentimen agama dalam politik dan menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan parti terbabit.

Shamsul Iskandar Mohd Akin

Kata Jamal kenyataan Aliakbar tidak sepatutnya mengapi-apikan sentimen agama khususnya di Sabah yang penduduknya hidup dalam suasana harmoni.

"Sebelum menyerang Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri YB Aliakbar patut terlebih dahulu mencerminkan diri dan meletakkan jawatan," katanya.

Aliakbar dilantik sebagai seorang daripada enam Adun lantikan Sabah pada 2020 oleh Ketua Menteri Hajiji Noor.

Langkah itu dibuat sesuai dengan ruang yang diberikan perlembagaan negeri terbabit.

Asalnya GRS adalah sebahagian daripada kerajaan PN namun selepas PRU ke-15 yang menyaksikan gabungan itu menjadi pembangkang, mereka kemudian memberikan sokongan kepada kerjasama BN-PH yang kemudian membentuk kerajaan pusat.

Dalam keadaan sekarang, di atas kertas PAS Sabah adalah satu-satunya bahagian parti itu yang mempunyai hubungan dengan PH.

Tidak dapat dipastikan sama ada Aliakbar masih setia kepada Hajiji atau sebaliknya memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak mengadakan sebarang undian blok pada tahun ini.