Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari akan didakwa di mahkamah pada Khamis ini atas berhubung hantaran di X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) tahun lepas yang berkaitan Yang Dipertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam.

Dalam hantaran di X hari ini, Jay Jay Denis memaklumkan dia akan didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah berhubung hantaran bertarikh 6 Sept 2022.

“Setelah lebih setahun, pihak polis memaklumkan bahawa saya akan didakwa hari Khamis ini di Mahkamah (Sesyen) Alor Gajah, Melaka berhubung hantaran di Twitter yang merujuk kepada TYT Melaka, Tun Ali Rustam,” kata aktivis itu.

Jay Jay juga berkongsikan hantaran bertarikh 9 Okt yang memaklumkan dia dijemput dari Lembah Klang dan dibawa ke Melaka oleh tiga pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Dia dibebaskan tidak lama kemudian.

Dalam hantaran pada 6 Sept tahun yang sama, Jay mendakwa melihat konvoi anggota polis dan kenderaan pengiring menghalang lalu lintas di Lebuhraya Sprint dengan melakukan pusingan U.

Dia mendakwa Ali kemudian dilihat keluar daripada salah sebuah kenderaan berkenaan.

Jay Jay mendakwa Ali pada masa itu menghadiri makan malam bersama keluarganya di sebuah restoran di Medan Damansara, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Arshad Abu kemudian mengesahkan aktivis itu ditahan di lokap IPD Alor Gajah.

Arshad memberitahu Malaysiakini ketika itu bahawa siasatan dilakukan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Katanya, Jay Jay juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia - yang berkaitan penyalahgunaan internet.