Jakoa perjelas isu lambat hantar pulang mayat dua wanita Orang Asli
Isu tular berkaitan dakwaan kelewatan pengurusan penghantaran pulang mayat dua wanita Orang Asli yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman dan Covid-19 di Hospital Kuala Lipis, telah selesai.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang Johari Alwi berkata penghantaran pulang mayat dua wanita itu ke kampung halaman mereka di Pos Senderut dan Kampung Lenjang, kedua-duanya dalam daerah Lipis, telah diuruskan menggunakan kenderaan milik jabatan itu.
Beliau berkata Jakoa Lipis telah menguruskan penghantaran pulang mayat dua wanita itu sejak Rabu iaitu sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kesukaran dihadapi keluarga terlibat, namun tidak menolak kemungkinan berlaku penyampaian maklumat yang kurang tepat kepada keluarga.
"Berlaku kelewatan perkhidmatan kerana kenderaan Jakoa yang ditugaskan untuk menghantar mayat itu mengalami kerosakan selain mayat pesakit Covid-19 memerlukan pengendalian khas serta kenderaan yang sesuai.
"Kenderaan terlibat juga didapati berada di Pekan bagi tugasan lain pada hari berkenaan, dan memerlukan masa untuk ke Lipis," katanya menerusi kenyataan di Kuantan semalam.
Perjalanan ke Pos Senderut dan Kampung Lenjang yang terletak lebih 90 kilometer dari Hospital Kuala Lipis memerlukan kenderaan yang sesuai kerana jaraknya jauh ke pedalaman selain keadaan jalan sukar dilalui menggunakan kenderaan biasa.
Johari berkata kenderaan jenazah yang sesuai dari Jakoa Pekan dan Jakoa Cameron Highlands telah diarahkan untuk ke hospital itu bagi urusan membawa pulang mayat dua wanita tersebut.
Jakoa Pahang, tegasnya sentiasa bersedia membantu menguruskan penghantaran mayat jika diperlukan seperti yang dilakukan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain turut membantu pengurusan mayat atau jenazah walaupun bukan agensi terlatih untuk menguruskan mereka yang maut akibat Covid-19.
Semalam, beberapa media tempatan menyiarkan keluhan dua lelaki Orang Asli yang mendakwa tidak dapat membawa pulang mayat isteri mereka ke kampung halaman untuk disemadikan kerana tiada kenderaan.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/11/65e0e3b5e968215f222ba014e62847b6.jpg)
