15 jawatan tribunal antigangguan seksual diisi setakat ini
Sejumlah 15 jawatan di bawah Tribunal Anti Gangguan Seksual (AGS) telah diluluskan dan diisi setakat ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata kesemuanya telah dilantik semalam dan akan mula menjalankan sesi simulasi bagi menyesuaikan diri dengan tribunal berkenaan.
“Tribunal AGS kita dijangka akan bermula akhir tahun ini setelah ahli tribunal dilantik sepenuhnya, dengan simulasi dijangka bermula pada bulan ini,” katanya ketika berucap di Majlis Apresiasi Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPKWM) di Kuching, malam tadi.
Menurutnya, sesi simulasi itu dijadualkan bermula dengan pelantikan Presiden dan Timbalan Presiden daripada perkhidmatan perundangan dan kehakiman.
Dalam pada itu, beliau berkata KPWKM telah menyalurkan bantuan kebajikan berjumlah RM2.266 bilion melibatkan 531,439 kes yang memerlukan bantuan sehingga November lepas.
Menurut Nancy penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) menjadi pencapaian terbesar kementerian berkenaan bagi tahun ini.
JPKK yang ditubuhkan pada 1 Sept lepas bertujuan menggantikan Bahagian Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat serta merupakan jalan penyelesaian dalam menangani isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak.
Sementara itu, beliau berkata Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe), termasuk Program Saringan Kanser Serviks dan Subsidi Ujian Mamogram telah memberi manfaat kepada 69,938 wanita di seluruh negara setakat ini.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/da6fb58c1f2f91d38fef9ca08c128d0f.jpg)
