Pilihan raya PBT: PAS gesa Anwar hentikan naratif ‘beracun’
PAS menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mengawal dan menghentikan naratif “beracun” susulan cadangan pemimpin DAP berhubung pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan isu perdana menteri bukan Melayu.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata pihaknya memandang serius perkembangan mutakhir dalam naratif politik tanah air, terutama yang melibatkan pemimpin veteran DAP iaitu Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai.
"Berbeza dengan Lim yang menyebut bahawa ucapannya itu hanyalah pernyataan fakta, bukan realiti, Tan tidak pula meletakkan caveat kepada gesaannya itu walaupun Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor MIng ketika menjawab pertanyaan di Parlimen pada awal tahun ini menegaskan bahawa pilihan raya PBT bukanlah keutamaan kerajaan pada masa ini.
"Sebagai bekas anggota kerajaan dalam pentadbiran PH sebelum ini, Tan seharusnya lebih peka dan sensitif terhadap pendirian dan dasar kerajaan semasa, bukan sebaliknya, kecualilah kenyataan itu juga merupakan suatu sandiwara DAP dan Nga turut memegang watak penting," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tan pada Konvensyen DAP Wilayaj Persekutuan, Ahad lalu, dan ucapan Lim di England, baru-baru ini.
Tan yang juga bekas duta khas Malaysia ke China sebelum ini menggesa pilihan raya PBT dilaksanakan di ibu negara, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa semalam berkata banyak perkara asas perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum isu pelaksanaan pilihan raya PBT dibincangkan.
Sementara itu Takiyuddin berkata, jika diteliti lebih dekat, walaupun kedua-dua pemimpin DAP itu dihiasi dengan kata-kata dan idea muluk tentang negara atau bandar raya hebat bertaraf dunia, multiculturism, demokrasi dan kecekapan pentadbiran namun gesaan Tan ternyata bercanggah dengan penolakan Lim terhadap citra politik etnik tunggal yang menjadi teras kepada impian perdana menteri bukan Melayu.
Katanya, dengan penguasaan hampir mutlak kerusi-kerusi Parlimen di Kuala Lumpur oleh DAP, pilihan raya PBT mungkin akan menyaksikan etnik tunggal menjadi wakil.
"PAS beranggapan kedua-dua kenyataan Tan dan Lim jelas bermotifkan pengukuhan kedudukan dan penguasaan DAP ke atas hala tuju dan perjalanan negara dengan mengabaikan sisi-sisi teras yang selama ini mengikat semua pihak pada agenda dan budaya politik yang lebih waras, sederhana dan munasabah.
"Ini semakin mengesahkan kebimbangan banyak pihak, terutamanya orang Melayu terhadap niat sebenar DAP dan sama ada ia jujur dalam menjunjung kepentingan dan keutamaan nasional atau hanya mengutamakan kepentingan ideologi dan parokialismenya," katanya.
Tambahnya lagi, perlu diingat bahawa keputusan kerajaan terdahulu memansuhkan pilihan raya PBT di seluruh negara sejak lebih 50 tahun lepas yang dengan jelas termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 antara lain bertujuan untuk menghindari penguasaan PBT oleh satu-satu kumpulan etnik bagi menutup kemungkinan berlakunya ketegangan dan ketidakharmonian kaum dalam masyarakat.
"PAS percaya hikmah dan tujuan penting keputusan itu masih terpakai dan perlu pada hari ini, sekali gus menggesa perdana menteri mengawal dan menghentikan naratif beracun seperti ini kerana mereka yang melupakan sejarah hanya akan mengulanginya,” kata Takiyuddin.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/5829f21f83286a1ee3e4cc47e525ed96.jpg)
